Pengurus legenda Manchester United, Sir Alex Ferguson dikatakan tidak gembira dan risau dengan apa yang berlaku di Man. United ketika ini. Beliau meminta agar kelab berubah dengan segera.
Sir Alex Ferguson juga menyokong idea yang diwar-warkan oleh Ed Woodward, yang mahu menstruktur semula pengurusan pasukan.
Lalu, Sir Alex memberikan cadangan beliau untuk dipertimbangkan oleh Woodward. Man. United mahu memperbaiki sistem pembangunan bakat serta ‘scouting’ mereka. Ini selepas kegagalan mereka dalam banyak pembelian pemain dalam beberapa siri jendela perpindahan.
Sir Alex mencadangkan agar Manchester United melantik Steve Walsh sebagai penasihat dan ‘mastermind’ dalam ‘scouting’ pasukan.
Walsh merupakan orang yang bertanggungjawab dalam rekrut bakat ketika di Leicester City – berjaya mengesan dan membawa masuk bakat-bakat seperti Riyad Mahrez, N’Golo Kante dan Jamie Vardy. Paling mengejutkan, bakat-bakat ini dibawa dengan kos yang sangat rendah tetapi membantu Leicester menjulang EPL.
Pemain-pemain tersebut juga memiliki nilai pasaran yang sangat tinggi. Walsh kemudian menyertai Everton sebagai Pengarah Sukan. Namun beliau dipecat. Ferguson percaya Walsh adalah individu terbaik untuk Man. United dalam membantu kelab itu menjejak dan membangunkan bakat. Kerana itu adalah kepakaran beliau.
Ini ditambah dengan status Walsh yang kini tiada jawatan dengan mana-mana pasukan.
Walaubagaimanapun, Ed Woodward dilaporkan enggan menerima cadangan Ferguson tersebut. Woodward tetap dengan pendirian beliau bahawa, jawatan seperti itu akan diberikan kepada bekas pemain Man. United.
Interesting developments regarding the structure of recruitment at @ManUtd, where Sir Alex Ferguson has recommended Steve Walsh to the club.
It is understood chief executive Ed Woodward doesn't like the idea.
Follow all the latest news here: https://t.co/KGzszKGKAk pic.twitter.com/QEiV6UDkOC
— Sky Sports News (@SkySportsNews) June 18, 2019
Woodward ketika ini dilaporkan meletakkan nama Rio Ferdinand sebagai calon utama. Edward kemudian menjelaskan, beliau mahu melaksanakan pelan jangka panjang dan bekas pemain Man. United adalah calon terbaik untuk mengisi jawatan seperti itu.
Berita ini pastinya mengecewakan ramai penyokong Man. United. Ini selepas beberapa bulan lalu, media melaporkan Sir Alex agak terkilan kerana beliau disisihkan oleh Manchester United dalam banyak perkara. Sir Alex bukan mahu campur tangan dalam urusan seperti perlantikan pegawai ataupun jurulatih.
Namun beliau sekurang-kurangnya mahu tahu perkembangan semasa kelab dan mahu memberikan pandangan beliau apabila perlu.
Sir Alex Ferguson sebelum ini menjangkakan Man. United akan mengutamakan usaha untuk mendapatkan Mauricio Pochettino sebagai pengurus baharu. Namun apa yang mengejutkan Sir Alex adalah, kelab melantik Ole Gunnar Solskjaer secara tetap. Pengurus tersebut masih baharu dalam dunia pengurusan.
Sir Alex cuba meyakinkan kelab bahawa Pochettino individu terbaik untuk Man. United kerana falsafah, pengalaman dan kualiti pengurusan beliau. Woodward, Richard Arnold dan Matt Judge dilaporkan menolak idea itu.
Beberapa tahun yang lalu, Sir Alex pernah menyatakan beliau mahukan pengurus seperti Klopp menguruskan kelab seperti Man. United.
Ini kerana beliau percaya, bola sepak pada hari ini sudah banyak berevolusi dan bola sepak bercorakkan ‘high pressing’ adalah sangat penting. Dan ketika Liverpool melantik Jurgen Klopp, Sir Alex merasakan Liverpool telah melantik orang yang betul.
https://twitter.com/CapitalMANNews/status/775963787320897536
Seorang peminat Man. United menulis di media sosial: “Jika orang seperti Sir Alex Ferguson mulai resah dengan apa yang berlaku, kita tahu itu petanda yang tidak baik.”
Seorang lagi berkata: “Jika pengurus legenda dengan 13 EPL dan 2 UCL pun tidak mereka dengar, siapa lagi yang boleh bersuara?”
Beberapa bulan lalu, Dmitar Berbatov dalam nada menyindir polisi Woodward – menawarkan dirinya untuk jawatan Pengarah Sukan.
Berbatov berkata: “Minggu lalu dikaitkan dengan Ferdinand, terbaru Darren Fletcher – dikaitkan dengan jawatan Pengarah Sukan. Jadi kenapa tidak Dimitar Berbatov? Saya ada Ijazah dalam Pengurusan Sukan juga. Dan lencana jurulatih awalan.”
Menurut Berbatov, Man.United tidak perlu menggunakan dasar tertutup dalam perlantikan jawatan itu. Berbatov menyatakan orang seperti beliau yang tidak ada pengalaman mengurus tadbir dan cuma ada syarat minimum dengan lencana asas dalam kejurulatihan pun boleh dipertimbangkan – kerana menepati syarat bekas pemain Man. United.
Lalu Berbatov mahukan pihak Ed Woodward melakukan pemilihan dengan lebih baik.
“Ini jawatan penting, jawatan yang menjadi penghubung antara pengurus dengan pasukan dan Pengarah-Pengarah. United kena cari orang untuk isi jawatan ini dengan cara yang betul.”
“Saya tahu tentang skop kerja jawatan ini. Dan saya sendiri sudah bersedia bila-bila masa untuk jawatan seperti ini.”
“Namun, anda tidak boleh mengharapkan jawatan ini diberikan kepada individu – hanya semata-mata mereka bekas pemain. United boleh tersilap langkah jika terlalu bergantung dengan polisi ini.”
Ramai juga peminat Manchester United menunggu pengarah sukan yang baharu kelab itu diumumkan. Ini kerana idea itu sudahpun diwawarkan sejak tahun lalu lagi.
Manchester United ketika ini bergelut dengan pengurusan kontrak pemain. Beberapa pemain bintang mereka juga dilaporkan tidak gembira dan tidak mahu memberikan jaminan komitmen kepada kelab.