Unai Emery menyalurkan aura ‘The Invincibles’ buat barisan kejurulatihannya menjelang musim baharu selepas menaikan pangkat Freddie Ljungberg sebagai penolong jurulatih skuad utama Arsenal.
Ljungberg, 42 tahun, merupakan salah seorang pemain yang membarisi skuad ’emas’ Arsenal menjuarai Liga Perdana Inggeris 2003/04 tanpa sebarang kekalahan.
Bekas pemain tengah kelahiran Sweden itu sebelum ini mengendalikan skuad B-23 Arsenal dan tugas tersebut akan digalas oleh penolong jurulatih skuad utama musim lalu, Steve Bould.
Mengulas mengenai tugasan baru yang diberikan kepadanya, Ljungberg nyata gembira dengan perkembangan tersebut.
”Saya sangat gembira diberikan peluang ini untuk terus membantu dalam membangun dan bekerja dengan beberapa orang pemain muda hebat yang kami temui dari persekitaran skuad utama.”
”Untuk bekerja bersama-sama Unai (Emery) dan barisan kejurulatihan dalam membantu Arsenal memenangi trofi.”
”Saya memandang ke hadapan untuk bekerja dengan struktur baru dan berkongsikan pengalaman dan pengetahuan saya mengenai apa yang diperlukan untuk berjaya pada tahap ini.”
Dalam perkembangan yang sama berkuatkuasa 1 Julai ini, Steve Bould akan mengetuai skuad B-23 dan bakal menjalinkan kerjasama dengan Per Mertesacker, yang merupakan Pengurus Akademi dalam merintis ‘transisi’ pemain muda mengorak langkah masuk ke skuad utama.