Pengurus berpengalaman luas, Harry Redknapp menyuarakan keyakinan bahawa anak saudaranya, Frank Lampard bakal dilantik menjadi pengurus baharu Chelsea.
Selepas Maurizio Sarri meninggalkan Chelsea untuk membimbing Juventus, kedengaran nama Lampard sebagai calon utama bagi mengisi kekosongan tersebut selain dari Jose Mourinho.
Derby County bagaimanapun kelihatan enggan melepaskan pengurusnya itu setelah dikhabarkan ingin menawarkan kontrak baharu buat legenda hidup Chelsea tersebut.
Lampard menikmati musim yang memberangsangkan bersama Derby apabila hanya selangkah untuk membawa kelab itu ke saingan Liga Perdana Inggeris tetapi digagalkan Aston Villa pada perlawanan akhir play-off.
Melihatkan kepada perkembangan tersebut, Redknapp percaya Lampard bakal mengisi kerusi panas di Stamford Bridge itu.
”Sekiranya Chelsea menghubunginya, ia amat sukar untuk ditolak olehnya.”
”Pada pendapat peribadi saya, dia (Frank Lampard) akan menjadi pengurus Chelsea. Saya melihat perkara ini akan berlaku.”
”Mana-mana kedudukan di enam pasukan teratas adalah OK tetapi melayakkan diri ke Liga Juara-Juara Eropah akan menjadi musim yang bagus buatnya.”
”Tiada sesiapa yang menjangkakan dia akan menamatkan saingan di tempat pertama atau kedua, mungkin ketiga. Sekiranya dia berjaya membawa pasukan ke Liga Juara-Juara Eropah, dia akan berjaya.”
Dalam pada itu, Redknapp turut menggesa Lampard untuk menerima sekiranya mendapat tawaran dari Chelsea.
”Dia merupakan legenda sejati di Chelsea, salah seorang pemain terhebat dalam sejarah kelab.”
”Peluang ini mungkin tidak akan datang lagi, anda tidak tahu dalam bola sepak, peluang ada buatnya sekarang untuk kembali (ke Chelsea).”
”Dia mempunyai rumah berhampiran dengan pusat latihan, isterinya juga bekerja di London,” ujar Redknapp .
Redknapp juga berpendapat tugasan di Chelsea sesuai buat Lampard selepas The Blues sedang menghadapi larangan pembelian pemain bagi dua jendela perpindahan.
Kesempatan itu boleh digunakan sepenuhnya oleh Lampard untuk menggunakan barisan pemain muda seperti dilakukannya di Derby County.