Tuan rumah Portugal, merangkul kejuaraan kedua mereka dalam tempoh tiga tahun apabila menewaskan Belanda di perlawanan akhir UEFA Nations League (UNL) pada awal pagi tadi.
Kejayaan skuad kendalian Fernando Santos di Euro 2016 yang lalu, diulangi sekali lagi melalui jaringan tunggal Goncalo Guedes, untuk memberikan Portugal kemenangan tipis ke atas Belanda di Porto – kejayaan yang dianggap oleh Santos kerana semangat berpasukan yang dimiliki barisan pemainnya.
“Untuk tempoh lima tahun ini, kami telah menjadi satu keluarga yang sukar untuk dipecahkan, dan sedar akan apa yang kami mampu lakukan. Kami tahu kami mampu menang perlawanan ini,” ujar beliau.
Jaringan tunggal perlawanan dihasilkan oleh pemain sayap Valencia, Guedes selepas menerima hantaran cut back daripada Bernardo Silva, untuk menewaskan penjaga gol Belanda, Jasper Cillessen.
Skuad Belanda seperti akan menemui gol penyamaan melalui tandukan kencang Memphis Depay, namun diselamatkan oleh kecemerlangan penjaga gol Wolves, Rui Patricio. Percubaan Marten de Roon selepas itu pula tinggi tidak menepati sasaran.
Perhatian perlawanan turut terarah kepada pertembungan dua kapten, iaitu Cristiano Ronaldo dan Virgil van Dijk.
Tidak banyak yang dilakukan oleh Ronaldo dalam perlawanan ini. Salah satu percubaan beliau ke arah gol berjaya dihadang oleh Van Dijk.
Namun Ronaldo masih mampu mencemaskan benteng pertahanan Belanda apabila melepasi dua pertahanan lawan selepas itu sebelum dikecewakan oleh Cillessen di hadapan gol.
Portugal akhirnya dinobatkan sebagai juara sulung UEFA Nations League, menewaskan Belanda 1-0 di perlawanan akhir.