Penjaga gol skuad Harimau Malaya, Farizal Marlias enggan menjadikan masalah kesihatan sebagai penghalang untuk menampilkan aksi terbaik menjelang perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Nepal di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini.
Perlawanan itu bakal menjadi penampilan istimewa buat dirinya selepas dilantik sebagai ketua pasukan Harimau Malaya yang baharu menggantikan tempat Zaquan Adha yang tidak dipanggil kali ini.
Beliau yang baru sahaja sembuh daripada demam tidak mahu melepaskan peluang beraksi dan berharap dapat menghadiahkan kemenangan untuk pasukan negara.
“Ia bukan satu alasan, jadi saya sudah bersedia jika diturunkan. Bola sepak dimainkan secara sepasukan, jadi setiap pemain harus bersedia.
“Kalau salah seorang daripada kami tidak bersedia, ia akan sedikit mencacatkan pasukan,” katanya dalam Stadium Astro.
Mengulas mengenai tugasnya sebagai kapten, beliau berharap rakan sepasukannya dapat memberikan kerjasama penuh dan membantu meningkatkan prestasi pasukan kebangsaan.
“Saya mengambil tanggungjawab kapten pasukan sebagai satu amanah daripada ketua jurulatih dan saya mengharapkan rakan sepasukan dapat memberikan kerjasama untuk meningkatkan prestasi pasukan ke tahap lebih baik,” jelas penjaga gol Johor Darul Ta’zim itu.
Sementara itu, pengendali skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe menjadikan perlawanan malam ini sebagai medan ujian untuk memilih 23 pemain terbaik bagi menghadapi perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023 berhadapan Timor Leste, pada 7 dan 11 Jun ini.
“Esok (malam ini) hanyalah perlawanan ujian kerana saya masih mencari pilihan terbaik yang ada untuk perlawanan menentang Timor Leste.
“Berdasarkan perangkaan sejak Mac, Nepal telah meningkat dengan ketara dan kami perlu berhati-hati dengan mereka dan menumpukan perhatian kepada permainan kami”, kata Cheng Hoe dalam sidang akhbar pra perlawanan semalam.
Cheng Hoe turut mengesahkan pemain pertahanan Selangor, Syahmi Safari tidak akan beraksi untuk perlawanan menentang Nepal dan Timor Leste kerana mengalami kecederaan buku lali.
Manakala pemain naturalisasi pertama negara, Mohamadou Sumareh turut digantung satu perlawanan malam ini kerana membantah keputusan seorang pegawai perlawanan semasa perlawanan final kedua Piala Suzuki AFF menentang Vietnam di Hanoi pada 15 Disember lalu.