Meskipun kurang mendapat tempat sewaktu menyarung jersi Liverpool pada musim 2015/16, Christian Benteke tetap memuji Jurgen Klopp sambil menyifatkan pengurus kelahiran Jerman itu sebagai pengurus terbaik yang pernah bekerjasama dengannya.
Bekas pengurus, Brendan Rodgers adalah individu yang bertanggungjawab membawa Benteke dari Aston Villa ke kelab Merseyside itu.
Bagaimanapun nasib kurang baik menimpa beliau apabila sering diketepikan sebaik sahaja Klopp mengambil alih tugasan di Anfield pada Oktober 2015.
Benteke lebih banyak memanaskan bangku simpanan selepas dikatakan tidak sesuai dengan taktikal yang ingin diterapkan oleh Klopp terhadap The Reds.
Berikutan dengan situasi itu, Benteke yang kini beraksi untuk Crystal Palace mengakui bahawa cukup memahami keadaan tersebut dan turut mengakui Klopp adalah pengurus terbaik pernah membimbingnya.
”(Jurgen) Klopp masih merupakan pengurus terbaik yang saya pernah bekerja dengannya walaupun saya tidak banyak diturunkan olehnya.”
”Dia mahukan pemain yang pantas di jentera serangan. Saya memahami keputusan yang dibuat olehnya,” jelas Benteke bercakap kepada Daily Mirror.
Musim ini, Christian Benteke bergelut dengan masalah kecederaan lutut dihadapinya memaksa tugasan memburu jaringan buat Crystal Palace tertumpu kepada rakan sepasukan di Belgium, Michy Batshuayi