Pengurus Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino tetap optimis bahawa penyerang utama, Harry Kane bakal diturunkan pada aksi final Liga Juara-Juara Eropah bertemu Liverpool pada minggu hadapan.
Kane mengalami kecederaan buku lali selepas diterjah Fabian Delph ketika suku akhir pertama di Stadium Tottenham Hotspur.
Situasi yang dihadapi Kane itu menyebabkan beliau terpaksa melupakan baki saingan Liga Perdana Inggeris musim ini termasuk suku akhir kedua dan separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah.
Namun, perkembangan terkini Kane nyata memberikan harapan buat Pochettino yang sememangnya menagih sentuhan berbisa penyerang berusia 25 tahun itu.
”Kane berada dalam sesi latihan, dia berada pada tahap pemulihan yang baik.”
”Saya mengharapkan dia akan berada di sana (Madrid) sama ada bermula dari awal, di bangku simpanan atau memberikan sokongan moral di bilik persalinan.”
”Kami optimis bahawa dia akan berada di dalam padang untuk membantu pasukan,” jelas Pochettino yang menaruh harapan tinggi buat Kane.
Seperti Liverpool, Tottenham Hotspur turut mencipta kejutan selepas gol lewat permainan yang merupakan jaringan hatrik dari Lucas Moura itu berjaya menghampakan Ajax sekaligus menempah pertemuan menentang Liverpool di perlawanan akhir.