Manchester City terus menambah koleksi piala dengan melengkapkan ‘treble’ musim ini selepas berjaya membelasah Watford 6-0 pada aksi final Piala FA yang berlangsung di Stadium Wembley.
Masih segar dengan kejayaan mempertahankan trofi Liga Perdana Inggeris, Manchester City kelihatan terlalu unggul buat Watford pada perlawanan ini.
Skuad bimbingan Pep Guardiola itu mendahului Watford 2-0 pada separuh masa pertama menerusi David Silva dan Gabriel Jesus.
David Silva membuka tirai jaringan pada minit ke-26 selepas beliau melepasi perangkap ofsaid sekaligus melepaskan rembatan kaki kiri dalam kawasan penalti bagi menewaskan Heurelho Gomes.
Pada minit ke-38, Jesus menambah jaringan kedua selepas dengan tenang beliau menolak bola hasil hantaran menarik Bernardo Silva di sebelah kanan pintu gol Watford.
Memasuki separuh masa kedua, Manchester City terus bernafsu memburu jaringan dengan empat lagi gol terhasil.
Bermula dengan ketenangan Kevin De Bruyne yang mudah menjaringkan gol ketiga di minit ke-61, Jesus kemudiannya menjadikan kedudukan 4-0 menerusi gerakan solo dari tengah padang berselang tujuh minit kemudian.
Raheem Sterling pula cemerlang dengan dua jaringan pada minit ke-81 dan 87 untuk melengkapkan kemenangan besar 6-0 buat Manchester City.
Sebelum meraih kejuaraan Piala FA dan Liga Perdana Inggeris, The Cityzens terlebih dahulu menjuarai saingan Piala Carabao apabila mereka berjaya menundukkan Chelsea menerusi penentuan sepakan penalti.
Walaupun gagal di peringkat suku akhir Liga Juara-Juara Eropah, pencapaian musim ini seharusnya menjadi kebanggaan buat Manchester City.