Quantcast

LIGA MALAYSIA

Abu Bakar Fadzim Puji Semangat Juang Pemain PKNP FC Kekang Selangor

Ketua jurulatih Kelab Bolasepak Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP FC), Abu Bakar Fadzim memuji semangat juang anak buahnya dalam mengekang Selangor pada aksi Liga Super 2019, malam tadi.

PKNP FC turun berdepan ‘Gergasi Merah’ dengan sedikit tempang apabila kehilangan khidmat beberapa pemain tonggak seperti Mohamad Hafiz Ramdan dan Thomas Abbey yang mengalami kecederaan.

Sementara itu dua awang import, Giancarlo Lopes Rodriguez dan Amani Santos Aguinaldo pula disisihkan akibat penggantungan.

Bagaimanapun keadaan itu tidak melunturkan semangat juang para pemain bagi memberikan saingan hebat buat skuad yang dibimbing B. Satiananthan tersebut.

Walaupun skuad bimbingannya turun dengan serba kekurangan, Abu Bakar jelas gembira dengan aksi yang dipertontonkan anak buahnya malam tadi.

Pemain tengah PKNP FC, Fadhil Idris mengekang asakan Syazwan Zainon pada perlawanan Liga Super Malaysia 2019 di Stadium Majlis Perbandaran Manjung.

”Saya nampak kesungguhan terutamanya pemain-pemain tempatan bagi mengemudi kesebelasan utama kali ini walaupun tak seimbang berbanding pemain pasukan-pasukan lain.”

”Kita hanya bersandarkan dua pemain import di bahagian pertahanan dan juga serangan iaitu Pedro Victor dan Yashir Pinto. Itu sahaja yang kita ada kerana penggantungan dua pemain, Giancarlo dan Amani serta Thomas Abbey yang diketepikan hampir lapan minggu kerana keretakan tulang kaki.”

”Apa sahaja rintangan dan masalah yang dihadapi PKNP, saya puji semangat juang yang ditunjukkan para pemain walaupun kita ketinggalan 1-0.”

”Semangat mereka untuk mempertahankan pasukan ini daripada keciciran mata yang besar, jadi bagi saya satu mata adalah baik buat PKNP FC dalam keadaan kesukaran dan kami dapat kekalkan kedudukan di 10 pasukan teratas.”

Dalam perkembangan lain, Abu Bakar Fadzim turut menjelaskan bahawa PKNP FC sudah mendapatkan pengganti Thomas Abbey dan difahamkan pemain import dari Brazil itu akan tiba di Ipoh pada hari ini.

Kredit foto: PKNP FC