Pengarah Sukan Ajax, Marc Overmars mendedahkan semalam bahawa Hakim Ziyech akan meninggalkan kelab tersebut sekiranya mendapat tawaran dari kelab utama eropah pada jendela perpindahan musim panas ini.
Pemain antarabangsa Maghribi itu melalui musim yang menakjubkan bersama Ajax, menjaringkan 21 gol sambil turut menghasilkan 24 bantuan gol untuk skuad kendalian Erik ten Hag dalam semua pertandingan musim ini.
Bersama Ajax, Ziyech menjuarai kejuaraan berganda di peringkat domestik, sambil turut membantu kelab Amsterdam itu mara ke separuh akhir UEFA Champions League musim ini.
Prestasi memberangsankan yang ditampilkan oleh Ziyech pantas menarik minat beberapa kelab seperti Arsenal, Liverpool, Manchester United dan Bayern Munich – dan ejen kepada pemain tersebut dikatakan turut telah dihubungi oleh wakil dari kelab-kelab tersebut.
Enggan berselindung, Pengarah Sukan Ajax, Marc Ovemars mengesahkan pemain itu dibenarkan untuk berhijrah pada musim panas ini.
“Dia [Ziyech] akan pergi sekiranya mendapat tawaran dari kelab utama eropah,” ujar Overmars.
“Dia menjadi tumpuan kerana pencapaian di UCL. Beberapa kelab besar mula tampil bertanya. Kami berjanji kepada Hakim [Ziyech] akan membenarkan beliau pergi jika ianya lebih baik.”
Dalam satu laporan oleh The Mirror, bekas pemain FC Tewente itu dikatakan mempunyai klausa pelepasan £25 juta – nilai yang dianggap sangat berbaloi untuk mana-mana kelab di eropah.
Ziyech dibawa masuk ke Ajax dengan nilai £9.6 juta pada 2016, dan telah menjaringkan 100 gol untuk kelab tersebut sejak daripada itu.