Sebaik sahaja semua perlawanan ke-38 Liga Perdana Inggeris (EPL) berakhir minggu lalu, ada peminat yang kebingungan selepas tiga pemain iaitu Mohamed Salah, Sadio Mane dan Pierre-Emerick Aubameyang masing-masing menjaringkan 22 gol saingan liga.
Banyak versi dan pendapat boleh dilihat dalam mencari konklusi berkenaan isu siapakah pemilik sebenar kasut emas EPL 2018/19.
Hanya jumlah jaringan dicipta jadi perkiraan
Premier League sebenarnya hanya menyandarkan kepada jumlah gol semata-mata untuk memilih pemenang dan ini bermakna tiada kriteria lain diambil kira seperti jumlah bantuan jaringan atau minit perlawanan sedikit yang diperlukan.
Peraturan itu secara tidak langsung melayakkan Salah, Mane dan Aubameyang untuk dinobatkan selaku pemenang kasut emas EPL musim ini.
Bukan perkara baharu dalam EPL
Namun, situasi yang dapat kita saksikan pada musim ini dalam mencari penjaring terbanyak bukanlah perkara baharu dalam sejarah penganjuran EPL sejak musim 1992/93.
Hal ini kerana pada musim 1997/98, Micheal Owen yang ketika itu beraksi untuk Liverpool berkongsi gelaran pemenang kasut emas bersama-sama Dion Dublin dari Coventry City dan Chris Sutton (Blackburn Rovers).
Musim berikutnya juga Owen terpaksa sekali lagi berkongsi gelaran tersebut apabila 18 jaringan dihasilkannya berjaya diikat penyerang Leeds United, Jimmy Floyd Hasselbaink dan peledak berbisa Manchester United, Dwight Yorke.
Secara kebetulan, pemain dari pasukan Liverpool terlibat dengan ketiga-tiga perkongsian kasut emas dalam sejarah EPL itu.
Sementara itu pada musim 2010/11, Dimitar Berbatov dan Carlos Tevez dari Manchester United dan Manchester City turut berkongsi anugerah apabila masing-masing menjaringkan 20 gol.
Thierry Henry pemenang kasut emas terbanyak
Legenda hidup Arsenal itu nyata merupakan antara penyerang yang cukup disegani dalam kancah EPL apabila beliau telah berjaya memenangi empat anugerah kasut emas.
Beliau yang kini berusia 41 tahun berjaya melakukannya pada musim 2001/02 (24 gol), 2003/04 (30 gol), 2004/05 (25 gol) dan 2005/06 (27 gol).
Pada musim 2002/03, Henry hanya dipisahkan dengan satu gol ketika Ruud Van Nistelrooy memenanginya dengan 25 gol.
Hanya Henry dan Alan Shearer berjaya memenangi anugerah bagi tiga musim berturut-turut.
Senarai pemenang kasut emas EPL
1992/93
Teddy Sheringham (Nottingham Forest & Tottenham) – 22 gol
1993/94
Andy Cole (Newcastle United) – 34 gol
1994/95
Alan Shearer (Blackburn Rovers) – 34 gol
1995/96
Alan Shearer (Blackburn Rovers) – 31 gol
1996/97
Alan Shearer (Newcastle United) – 25 gol
1997/98
Dion Dublin (Coventry City) – 18 gol
Micheal Owen (Liverpool) – 18 gol
Chris Sutton (Blackburn Rovers) – 18 gol
1998/99
Jimmy Floyd Hasselbaink (Leeds United) – 18 gol
Micheal Owen (Liverpool) – 18 gol
Dwight Yorke (Manchester United) – 18 gol
1999/00
Kevin Phillips (Sunderland) – 30 gol
2000/01
Jimmy Floyd Hasselbaink (Chelsea) – 23 gol
2001/02
Thierry Henry (Arsenal) – 24 gol
2002/03
Ruud Van Nistelrooy (Manchester United) – 25 gol
2003/04
Thierry Henry (Arsenal) – 30 gol
2004/05
Thierry Henry (Arsenal) – 25 gol
2005/06
Thierry Henry (Arsenal) – 27 gol
2006/07
Didier Drogba (Chelsea) – 20 gol
2007/08
Cristiano Ronaldo (Manchester United) – 31 gol
2008/09
Nicolas Anelka (Chelsea) – 19 gol
2009/10
Didier Drogba (Chelsea) – 29 gol
2010/11
Dimitar Berbatov (Manchester United) – 20 gol
Carlos Tevez (Manchester City) – 20 gol
2011/12
Robin Van Persie (Arsenal) – 30 gol
2012/13
Robin Van Persie (Manchester United) – 26 gol
2013/14
Luis Suarez (Liverpool) – 31 gol
2014/15
Sergio Aguero (Manchester City) – 26 gol
2015/16
Harry Kane (Tottenham Hotspur) – 25 gol
2016/17
Harry Kane (Tottenham Hotspur) – 29 gol
2017/18
Mohamed Salah (Liverpool) – 34 gol
2018/19
Sadio Mane (Liverpool) – 22 gol
Mohamed Salah (Liverpool) – 22 gol
Pierre-Emerick Aubameyang (Arsenal) – 22 gol
Kredit foto: Premier League