Quantcast

BERITA

Perak Hilang Khidmat Hafizul Hakim Dan Zac Anderson

Skuad Perak The Bos Gaurus (TBG) bakal berkunjung ke Kuantan bagi menghadapi perlawanan Liga Super menentang Pahang tanpa khidmat dua tonggak utama, Hafizul Hakim dan Zachary Anderson.

Menurut pengendali pasukan, Mehmet Durakovic, dua pemain tersebut terpaksa berehat selama dua minggu selepas disahkan mengalami kecederaan lutut oleh doktor pasukan.

“Hafizul dan Zac mengalami kecederaan lutut dan diarahkan oleh doktor supaya berehat untuk sekurang-kurangnya dua minggu,” katanya dalam Stadium Astro.

Mehmet dijangka akan mempertaruhkan penjaga gol simpanan, Khairul Amri Salehuddin bagi menggantikan Hafizul manakala Idris Ahmad akan mengambil tempat Anderson.

Penjaga gol kedua Perak itu melaksanakan tugasnya dengan baik walaupun ada ketikanya tampak goyah ketika menentang PKNP FC semalam.

“Dia lulus ujian pertama dan saya menaruh sepenuh kepercayaan kepadanya untuk menjadi lebih baik selepas beraksi dalam beberapa perlawanan lagi,” katanya.

Perak yang masih segar dengan kejayaan melayakkan diri ke peringkat separuh akhir Shopee Piala FA kini berada di kedudukan kelima dalam carta Liga Super selepas mengutip 17 mata hasil daripada 3 kemenangan dan 8 keputusan seri.

Namun, Perak bakal berhadapan ujian getir apabila bakal menentang juara Piala FA 2018, Pahang, di Stadium Darulmakmur, Kuantan pada hari Ahad ini.

KEMASKINI TERUS KEPADA ANDA!

Jadi yang pertama mendapatkan kemaskini dari kami melalui emel!