Tiada kelibat orang besi, Dickson Nwakaeme dan Safuwan Baharudin bagi pasukan pelawat Pahang FA, bermakna Dollah Salleh terpaksa menyandarkan kekosongan dua pemain itu dengan Norshahrul Idlan Talaha dan Wan Zaharulnizam untuk kunjungan ke Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya menentang PJ City FC.
Pertemuan pertama kedua-dua pasukan di pusingan pertama Liga Super, menyaksikan PJ City FC yang dikenali dengan gelaran Sang Phoenix, mencuri satu mata di Kuantan.
30 minit pertama perlawanan, menyaksikan skuad Tok Gajah menguasai penguasaan bola. Namun dalam tempoh itu, PJ City kerap kali mengancam dengan hantaran-hantaran jauh yang cuba memerangkap pertahanan Pahang.
Satu-satunya ancaman berbahaya Pahang di dalam tempoh itu ialah melalui sepakan percuma Herold Goulon yang ditepis keluar penjaga gol PJ City FC, Mohamad Muhaimin.
Minit ke-31, PJ City FC selaku tuan rumah membuktikan cabaran mereka seharusnya tidak dipandang rendah dalam perlawanan ini. Bermula dari sepakan penjuru, The Phoenix mendahului 1-0 melalui Pedro Henrique – yang menyambar bola di garisan gol setelah Aizulridzwan terlebih dahulu berjaya memintas hantaran dari Helmi Eliza.
30’| GOL PEDRO!
Pasukan tuan rumah mengejutkan Pahang di Kelana Jaya selepas ‘debut goal’ dari Pedro Hendrique Cortes meletakkan PJ City FC dihadapan!
PJ City FC 1-0 @OfficialPahang #LigaSuper2019#MFLLive#PJCPHG pic.twitter.com/J5WDdjZYXn
— MFL LIVE (@MFL_Live) May 4, 2019
Pahang gagal bermain seperti kebiasaan, dengan gerakan-gerakan yang sering mengecewakan selepas itu, tatkala PJ City sekali sekala mengancam melalui serangan balas pantas.
Kedudukan bagaimanapun kekal sehingga tamat separuh masa pertama, PJ City 1-0 Pahang.
Babak kedua bermula menyaksikan Pahang berusaha untuk memburu gol penyamaan. Namun skrip di babak pertama tidak banyak berbeza pada separuh masa kedua, apabila gerakan-gerakan kurang kemas Pahang mudah dimatikan oleh bahagian pertahanan PJ City FC.
PJ City terus memanfaatkan gerakan set pieces yang diperolehi di luar kotak penalti Pahang pada minit ke-56 perlawanan – kali ini berjaya memerangkap pertahanan skuad Tok Gajah apabila bola yang pada mulanya gagal ditanduk kemas Aizulridzwan, disempurnakan oleh Serginho, untuk melebarkan pendahuluan PJ City.
56’| GOL SERGINHO!
PJ City kini melebarkan kelebihan mereka ke atas Pahang di Stadium MBPJ selepas Serginho menyudahkan peluang mudah untuk menewaskan Helmi Eliza!
PJ City FC 2-0 @OfficialPahang #LigaSuper2019#MFLLive#PJCPHG pic.twitter.com/cxPzt7YyAQ
— MFL LIVE (@MFL_Live) May 4, 2019
Minit ke-67 menyaksikan percubaan Norshahrul dari jarak dekat terus ke tangkapan Muhaimin, selepas gerakan menarik Sumareh dari sebelah kiri serangan Pahang.
Muhaimin sekali lagi cemerlang menafikan rembatan deras Faisal Halim pada minit ke-72 perlawanan. Perlawanan sedikit sebanyak terganggu selepas satu persatu pemain PJ City FC mengalami kecederaan selepas itu.
Baki 10 minit perlawanan menyaksikan Pahang terus mengasak untuk mengurangkan defisit jaringan, namun kerap kali dikecewakan oleh pertahanan PJ City.
Kedudukan kekal sehingga ke wisel penamat, dan PJ City FC memanfaatkan perlawanan di tempat sendiri untuk menundukkan Pahang 2-0.
Kredit Foto: Pahang FA
Kredit Video: Malaysian Football League