Wahet Uji Tegur Presiden FAS Supaya Tidak Bersikap Melulu Salahkan Pihak Lain

Wahet

Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Datuk Posa Majais diingatkan agar jangan bersikap melulu dan emosional dalam membuat sebarang keputusan atau dakwaan yang boleh merugikan masa depan bola sepak Sarawak.

Bekas Pengarah Kejurulatihan Sarawak, Abdul Wahet Uji berkata, Posa sepatutnya memperbaiki kekurangan di peringkat pengurusan bola sepak negeri sebelum menuding jari kepada pihak lain terutama Malaysian Football League(MFL).

Paling ketara, soal pengurusan kewangan FAS yang menurutnya sehingga kini masih gagal dalam proses audit walaupun berulang kali diminta MFL terutamanya dalam soal pelesenan kelab.

Tambah Wahet, pengalaman sepanjang bekerja dengan Posa sehingga musim lalu di FAS, dia berpendapat Posa sebagai individu kurang sesuai mengendalikan persatuan bola sepak kerana banyak keputusan dilakukannya kembali meletakkan mutu bola sepak Sarawak di tahap merudum.

“Jangan terlalu mudah cakap mahu menarik diri jika benar beliau ada hasrat sedemikian kerana banyak perkara perlu diperhalusi terutama soal perlembagaan kerana Sarawak adalah pasukan negeri dan merupakan ahli gabungan FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia).

“Bagi saya masalah sekarang (didenda kerana kelewatan dokumen) adalah berpunca daripada FAS sendiri kerana tahap pengurusan yang amat mengecewakan.

“Bayangkan, pihak MFL daripada dahulu iaitu sejak 2016 sentiasa mahu membantu Sarawak tetapi difahamkan laporan kewangan FAS sentiasa bermasalah untuk diaudit malah sehingga kini statusnya masih tergantung.

“Kini beliau memilih cara sebegini (konfrontrasi) pula dengan MFL, saya rasa langkah ini boleh membunuh bola sepak Sarawak ketika bola sepak negeri ini perlu jadi keutamaan, ” katanya.

Wahet sebelum ini pernah menjadi Pengarah Kejurulatihan FAS dari tahun 2017 hingga 2018 malah pernah menjadi pengurus dan Setiausaha Eksekutif FAS selain bekas pemain negeri itu pada era penghujung 70-an dan awal 80-an.

Dalam laporan akhbar tempatan hari ini mendedahkan Posa mengugut sedia mengambil langkah drastik jika pengurusan tertinggi termasuk Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Kevin Ramalingam enggan meletak jawatan serta terus mendiamkan diri.

Desakan itu berikutan Posa mendakwa Kevin tidak menguruskan MFL dengan baik termasuk menjaga hak kepentingan rakan kongsi seperti kegagalan perjanjian bersama Telekom Malaysia (TM) baru-baru ini.

Sedangkan semua sedia maklum bahawa MFL terpaksa membatalkan kontrak penajaan disebabkan keengganan TM untuk membuat pembayaran pada musim 2019.

Posa menyuarakan rasa tidak puas hati selepas Sarawak menjadi antara tujuh pasukan yang dikenakan hukuman pemotongan sebanyak 50 peratus daripada jumlah geran bagi musim 2019 di atas kegagalan mematuhi tarikh akhir pendaftaran pasukan pada 31 Disember 2018.

Ia kesalahan kali kedua dilakukan oleh Sarawak menyebabkan mereka turut dikenakan denda sekatan perpindahan bagi jendela perpindahan kedua bermula pada 2 Mei depan.

Namun MFL tidak terus menghukum sebaliknya kesemua pasukan yang dikenakan hukuman itu berhak membuat rayuan dalam tempoh 7 hari iaitu sehingga 5 petang 29 April ini.

Sarawak juga diwajibkan untuk menyerahkan dokumen/pelan kepada MFL yang menunjukkan kestabilan kewangan pasukan, jumlah pendapatan pasukan bagi musim 2019 dan bukti serta dokumen yang menunjukkan semua tunggakan hutang telah diselesaikan dalam tempoh 30 hari daripada pengumuman ini dibuat iaitu pada atau sebelum 5 petang 22 Mei ini.

Sekiranya dokumen-dokumen tersebut masih tidak diserahkan dalam tempoh yang diberikan, pemotongan sebanyak 3 mata akan dikenakan.

Menurut Wahet beliau berharap masa depan bola sepak Sarawak tetap cerah dan menggesa FAS memperbaiki pengurusan pastukan agar tidak membunuh bakat-bakat anak muda negeri berkenaan.

“Harap ada sinar di sebalik permasalahan ini kerana bola sepak Sarawak sekarang sudah kian tidak bermaya dan terkini dipalit isu-isu sebegini.

“Saya sebagai orang lama berharap pembaharuan mampu terjadi dan kepada Datuk Posa, saya cadangkan tumpukan sahaja kepada pernigaan jika tidak mampu uruskan dengan baik bola sepak Sarawak, ” katanya.

Kredit foto: sarawakcrocs.com

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN