Perak Pertimbangkan Untuk Mengambil Pemain Import Baharu

Presiden Persatuan Bolasepak Perak (PAFA), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, mengesahkan telah mengadakan perbincangan dengan jurulatih skuad The Bos Gaurus, Mehmet Durakovic untuk menambah pemain import baharu apabila pintu perpindahan kedua Liga Malaysia dibuka pada bulan depan.

Perancangan itu adalah untuk memastikan Perak memiliki skuad yang mantap bagi menghadapi saingan sengit dalam Piala FA dan baki Liga Super yang akan datang.

Juara Piala Malaysia 2018 itu dijangka akan mengugurkan salah seorang daripada empat pemain import yang didaftarkan musim ini dan desas-desus di media sosial mengatakan kemungkinan tonggak pertahanan dari Australia, Zac Anderson akan ditamatkan kontrak ekoran prestasi yang kurang memuaskan.

FOTO: Peral TBG

Mengulas mengenai isu tersebut, Faizal turut berkata ketua jurulatih pasukan itu sudah ada beberapa nama yang bakal dibawa masuk untuk memperkuatkan pasukan Perak.

“Dalam perbincangan itu, Mehmet ada mengemukakan beberapa cadangan bagi memantapkan lagi pasukan terutama memasukkan pemain baharu.

“Saya juga sudah sebut kepada Mehmet supaya tahap kecergasan pemain dipertingkatkan,” katanya dalam Berita Harian

Bagaimanapun, Menteri Besar Perak itu tidak akan menukarkan ketua jurulatih baharu dan meminta para penyokong bersabar kerana penukaran jurulatih tidak akan menyelesaikan sebarang masalah.

“Musim ini prestasi di Liga Super tidak memberangsangkan, nasib tidak menyebelahi kita, (tetapi) kita berada di suku akhir Piala FA, banyak pasukan terbaik terkeluar, ini juga satu pencapaian terbaik.

“PKNP FC juga tunjuk prestasi baik, kita tidak merudum, kedua-dua pasukan bertemu di suku akhir Piala FA, ‘its not too bad (tidaklah teruk sangat), maknanya ada pasukan dari Perak akan melangkah ke separuh akhir piala berkenaan,” katanya.

Semalam Perak menamatkan kemarau kemenangan apabila menewaskan PKNP FC dengan jaringan 4-0 di Stadium Manjung.
Ini adalah kemenangan kedua daripada 11 perlawanan liga musim ini yang sebelum ini hanya merakam tujuh seri dan dua kekalahan.

Leave a Reply