Penyerang Southampton, Shane Long hanya memerlukan tujuh saat sahaja untuk membuka tirai jaringan pada aksi menentang Watford di Vicarage Road, awal pagi tadi.
Gol pemain kelahiran Ireland itu kini merupakan jaringan terpantas dalam sejarah kancah Liga Perdana Inggeris (EPL).
Berpunca daripada sepak mula Andre Gray yang terus mencari Craig Cathcart, bagaimanapun usaha pemain pertahanan itu untuk melakukan sepakan jauh berjaya dihalang Long yang kemudiannya memperdayakan Ben Foster hasil satu sepakan ‘chip’.
Kelebihan gol pantas Long itu akhirnya berjaya dipadamkan pasukan tuan rumah pada minit ke-90 menerusi Gray untuk kedua-dua pasukan berkongsi satu mata.
Padam rekod Ledley King
Rekod jaringan terpantas dalam sejarah EPL sebelum ini dipegang pertahanan Tottenham Hotspur, Ledley King yang berjaya menjaringkan gol ketika permainan baru berusia 9.82 saat ketika menentang Bradford City pada musim 1999/00.
Alan Shearer, Christian Eriksen dan Mark Viduka juga berada dalam senarai lima penjaring terpantas dalam saingan EPL.
Shearer melakukan jaringan ketika permainan baru memasuki 10.52 saat ketika Newcastle United menentang Manchester City pada tahun 2003, sementara itu Eriksen pula melakukan pada musim lalu ketika menewaskan Manchester United (10.54 saat).
Manakala, Viduka meletakkan nama selaku penjaring kelima terpantas selepas mencipta jaringan ketika 11.9 saat sewaktu Leeds United bertemu Charlton Athletic (2001).
Pemain Southampton pegang rekod hatrik terpantas EPL
Selain daripada jaringan terpantas Long, Southampton turut memegang rekod jaringan hatrik terpantas apabila bekas pemainnya, Sadio Mane hanya memerlukan 2 minit 56 saat bagi mencipta tiga jaringan tersebut ketika menewaskan Aston Villa 6-1 pada musim 2014/15.