Malang menimpa pasukan FELDA United apabila tonggak tengah mereka, Hadin Azman terpaksa berehat selama dua minggu akibat kecederaan lutut kiri yang dialaminya ketika perlawanan pusingan ketiga Piala FA menentang Selangor beberapa hari lalu.
Beliau yang membantu FELDA United menewaskan Selangor, 2-1 di Stadium Shah Alam bakal terlepas dua perlawanan penting menentang Melaka United dalam saingan Liga Super dan Kuala Lumpur dalam suku akhir pertama Shopee Piala FA.
“Kecederaan pada lutut kiri ini dialami ketika perlawanan menentang Selangor dan ia semakin serius sebaik tamat perlawanan.
“Ini juga adalah kecederaan kali pertama (dialami) musim ini dan diharap dalam tempoh dua minggu, saya dapat kembali bersama pasukan,” katanya dalam Harian Metro.
Bekas pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu setakat ini sudah menjaringkan empat gol, masing-masing tiga gol dalam Liga Super dan Piala FA (satu gol).
Prestasi cemerlangnya pada awal musim ini bersama Felda United disamping dilantik menjadi kapten telah melonjak semula namanya yang kian suram bermula pada pertengahan musim lalu.
Kecederaannya juga bakal memberi kesan kepada skuad Harimau Malaya kendalian Tan Cheng Hoe yang menagih khidmatnya bagi menghadapi pusingan pertama kelayakan Piala Dunia 2022 menentang Timor Leste pada bulan Jun ini.