Xabi Alonso memilih bekas pasukannya, Liverpool untuk merangkul kejuaraan Liga Juara-Juara Eropah (UCL), musim ini.
Bekas pemain Sepanyol itu percaya bahawa Liverpool jauh lebih ‘unggul’ berbanding Tottenham Hotspurs dan Ajax Amsterdam serta mereka memiliki kelebihan untuk menang keatas Barcelona.
The Reds menepati ramalan mara ke separuh akhir Liga Juara-juara selepas mencatatkan keputusan agregat 6-1 bertemu FC Porto.
Dipetik menerusi Daily Mail, ketika Alonso ditanya wartawan apakah Liverpool mampu menjuarai Liga Juara-Juara musim ini, beliau dengan yakin menjawab: ‘Ya, mengapa tidak?”
“Mereka [Liverpool] memiliki pengalaman setelah apa yang mereka lalui tahun lalu.”
“Mereka amat dahagakan kejuaraan, misi mereka lebih besar kerana pernah kecewa diperlawanan akhir tahun lalu.”
“Ia boleh memainkan peranan yang besar. Dalam dua perlawanan, Liverpool boleh mengalahkan mana-mana pasukan di dunia.”
Kagum Kloop
Alonso turut menzahirkan pujian keatas pengendali Liverpool, Jurgen Klopp kerana telah berjaya membina pasukan menjadi ‘luar biasa’ beberapa tahun kebelakangan ini.
“Ini bukan mengenai individu. Perkara yang baik tentang Liverpool ialah selama dua atau tiga tahun yang lalu mereka telah membina satu pasukan dan membina idea.”
“Itulah sebabnya mereka mempunyai keseimbangan dan mereka sudah menjadi biasa.”
“Siapa yang bermain – [Naby] Keita, [Adam] Lallana atau [Daniel] Sturridge – mereka bukan sahaja mempunyai 11 pemain, mereka turut mempunyai 14, 15 pemain yang boleh bermain dalam perlawanan (penting) dan itulah jaminan terbesar untuk pengurus.”
“Saya fikir ini pasukan yang hebat dan itu yang penting. Pengurus [Jurgen] Klopp melakukan pekerjaan yang sulit untuk dipercayai. Saya sangat mengaguminya dan menghargai apa yang dia lakukan sejauh ini,” kata Alonso.
Liverpool terlebih dahulu akan bertemu Cardiff City dan Huddersfield Town bagi meneruskan misi kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) sebelum berangkat ke Camp Nou untuk bertemu Barcelona pada 2 Mei nanti.