Semangat juang tinggi yang ditampilkan Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak cukup untuk menghalang Shandong Luneng dari mencatatkan kemenangan 2-1 dalam saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2019 di Stadium Pusat Sukan Olimpik, Jinan, sebentar tadi.
Tuan rumah yang diperkuatkan kehadiran dua pemain import bertaraf dunia iaitu Graziano Pelle dan Marouane Fellaini jelas begitu bersemangat dalam usaha membolosi gawang JDT.
Walaupun JDT memiliki sedikit kelebihan penguasaan bola pada babak pertama, mereka masih tidak berupaya untuk memecah masuk ke kubu Shandong dan hanya mampu melepaskan percubaan dari luar kawasan penalti.
Serangan yang dilancarkan Shandong Luneng kelihatan lebih berbahaya tetapi digagalkan penyudah kurang berkesan jentera serangan.
Gol yang dinantikan kem tuan rumah menjelma pada minit ke-30 apabila Fellaini menanduk masuk bola hasil sepakan sudut Hao Junmin walaupun beliau dikawal dengan cukup rapi oleh La’Vere Corbin-Ong.
Skuad bimbingan Li Xiaopeng itu menambah jaringan kedua menerusi sepakan penalti yang disudahkan Pelle pada minit ke-39 walaupun Farizal Marlias sudah berjaya mengagak dengan tepat sepakan tersebut.
Sepakan penalti tersebut dihadiahkan buat tuan rumah selepas Aidil Zafuan Abd. Radzak mengasari Pelle dalam kawasan penalti.
Ketika aksi babak kedua baru berlangsung dua minit, Shandong Luneng hampir menambah jaringan, namun percubaan jarak dekat Jin Jingdao setelah mendapat umpanan tandukan daripada Fellaini berjaya dihalang Farizal.
Safawi Rasid merapatkan kedudukan pada minit ke-59 menerusi jaringan berkelas dunia diledakkan hasil rembatan dari luar kawasan penalti yang melencong ke ‘top corner’ pintu gol Shandong Luneng.
JDT hampir menyamakan kedudukan pada masa kecederaan apabila sepakan percuma yang diambil Gonzalo Cabrera sekadar singgah di palang gol sekaligus menghampakan skuad ‘Harimau Selatan’ itu sekurang-kurangnya untuk meraih satu mata.
Keputusan 2-1 kekal memihak tuan rumah sekaligus Shandong Luneng ditangga kedua dengan lima mata manakala JDT pula hanya mencatatkan satu mata selepas tiga perlawanan untuk menduduki tangga keempat.
Kredit foto: JOHOR Southern Tigers