Quantcast

BERITA

VIDEO: Jaringan Keita & Firmino Beri Kelebihan Buat Liverpool Menjelang Aksi Kedua Di Porto

Liverpool kelihatan semakin menghampiri aksi empat pasukan terbaik Liga Juara-Juara Eropah 2018/19 selepas berjaya menundukkan Porto 2-0 pada aksi suku akhir pertama yang berlangsung di Anfield, awal pagi tadi.

Turun sebagai pasukan pilihan pada perlawanan ini, Liverpool tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan menerusi Naby Keita seawal minit ke-5.

Keita yang menerima hantaran ke belakang oleh Roberto Firmino, melepaskan rembatan dalam kawasan penalti yang terbias mengenai kaki Oliver Torres lalu bola masuk tanpa dapat dihalang Iker Casillas.

Jaringan pembukaan itu ternyata menyuntik semangat anak buah Jurgen Klopp bagi terus memburu jaringan yang diharapkan dan usaha tersebut berhasil pada minit ke-26.

Porto

LIVERPOOL, ENGLAND – APRIL 09: Roberto Firmino of Liverpool shoots during the UEFA Champions League Quarter Final first leg match between Liverpool and Porto at Anfield on April 09, 2019 in Liverpool, England. (Photo by Julian Finney/Getty Images)

Bermula daripada hantaran kapten, Jordan Henderson mencari Trent Alexander-Arnold dalam kawasan penalti dan kemudiannya bek kanan itu melakukan umpanan lintang buat Firmino yang dengan mudah menolak masuk bola untuk jaringan kedua Liverpool.

Porto yang dibimbing bekas pemain skuad kebangsaan Portugal, Sergio Conceicao cuba untuk bangkit bagi memadamkan kelebihan dua gol dimiliki tuan rumah.

Dua peluang mereka menjelma secara berturut-turut tetapi percubaan Moussa Marega digagalkan penjaga gol Liverpool, Alisson Becker.

Aksi di babak kedua bersambung gagal untuk menghasilkan jaringan tambahan buat Liverpool dan Porto terus berputih mata untuk perlawanan berkesudahan dengan keputusan 2-0 memihak The Reds.

Kedua-dua pasukan akan kembali bertemu pada aksi kedua di Estadio do Dragao pada minggu hadapan (18 April).

KEMASKINI TERUS KEPADA ANDA!

Jadi yang pertama mendapatkan kemaskini dari kami melalui emel!