Watford berjaya bangkit daripada ketinggalan dua jaringan untuk menewaskan Wolves 3-2 pada aksi separuh akhir Piala FA yang berlangsung di Stadium Wembley.
Wolves bagaimanapun terlebih dahulu di depan pada minit ke-36 selepas Matt Doherty berjaya menanduk masuk bola hasil hantaran lintang Diogo Jota bagi membuka tirai jaringan.
Skuad bimbingan Nuno Espirito Santo itu mengukuhkan kedudukan di minit ke-62 menerusi penyerang Mexico, Raul Jimenez.
Jimenez yang menerima hantaran daripada Doherty mendada bola dengan baik dan seterusnya melakukan percubaan akrobatik bagi menjadikan kedudukan 2-0.
Ketinggalan dua jaringan langsung tidak melunturkan semangat anak buah Javi Gracia untuk kembali memberikan saingan dan Gerard Deulofeu berjaya merapatkan kedudukan pada minit ke-79.
Kegagalan pertahanan Wolves mengeluarkan bola dari kawasan bahaya digunakan sepenuhnya Deulofeu dengan membuat percubaan melencong yang memerangkap penjaga gol, John Ruddy.
Ketika perlawanan memasuki masa kecederaan dan Wolves dilihat semakin hampir ke perlawanan akhir, Leander Dendoncker melakukan kesilapan apabila mengasari Troy Deeney dalam kawasan penalti.
Pengadil perlawanan, Micheal Oliver tidak teragak-agak menghadiahkan sepakan penalti buat Watford dan peluang keemasan itu disudahkan dengan baik oleh Deeney bagi mengheret perlawanan ke masa tambahan.
Deulofeu muncul wira Watford hasil jaringan kemenangan pada minit ke-104 yang sekaligus membawa kelab tersebut ke perlawanan akhir Piala FA buat pertama kali sejak tahun 1984.
Lawan yang bakal ditentang Watford pada aksi final adalah gergasi Liga Perdana Inggeris, Manchester City.