Kerjasama pihak pengurusan Stadium Bolasepak Kuala Lumpur dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) nyata bakal memudahkan para penyokong beragama Islam yang hadir pada perlawanan Liga Super Malaysia 2019 diantara Kuala Lumpur dan Kedah, malam ini.
Jalinan kerjasama itu adalah dalam menyediakan ruang solat ‘surau bergerak’ di dalam bas bagi menunaikan solat di perkarangan stadium tersebut.
Langkah terpuji antara dua pihak tersebut telah dihebahkan di laman Facebook rasmi Kuala Lumpur Hawks, sebentar tadi.
Bas surau bergerak yang turut dikenali sebagai Surau Al-Barakah ini dikhabarkan mampu untuk memuatkan kira-kira 40 orang jemaah dalam satu-satu masa.
Ia juga turut dilengkapi dengan tempat wuduk, penyaman udara serta sistem audio.
Kemudahan yang diusahakan pihak pengurusan stadium dan JAWI amat terpuji dalam memudahkan urusan serta memberikan pilihan buat para penyokong tanpa perlu masuk terlalu awal ke dalam stadium untuk menunaikan solat di surau stadium.
Sebelum ini, perkhidmatan surau bergerak turut kelihatan di perkarangan Stadium Perak ketika perlawanan melibatkan pasukan ‘Yob’ hasil inisiatif Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc).