7 Perbezaan Sistem Pembangunan Pemain Muda Eropah Dengan Malaysia Menurut Pegawai NFDP

Cara orang Itali dan Jerman (malah di Eropah) membangunkan pemain muda mereka sangat berbeza dengan cara orang kita. Lain sangat tahap kompetitif, objektif dan sasaran sistem akar umbi mereka.

1. Kita terlalu rigid, mereka lebih flexible

Di sana, hanya ada satu pengadil dalam satu perlawanan. Tiada linesman langsung. Malah ada perlawanan yang pakai peraturan ‘obvious offside’ sahaja. Ada yang ubah peraturan supaya perlawanan menjadi seronok dan tak terlalu rigid.

Kita di Malaysia, kalau boleh nak ada sampai pengadil keempat dan padang saiz FIFA sebagai padang permainan untuk perlawanan bawah-12.

2. Kita menyukarkan cara, mereka memudahkan cara

Di sana, perlawanan peringkat akar umbi dilangsungkan ‘semudah’ dan ‘seringkas’ yang boleh. Asalkan semua pemain-pemain muda dapat peluang bermain.

Kita di Malaysia, kalau boleh nak ada lagu FIFA iring pemain. Siap kena lengkap ada orang kutipkan bola. Baju percuma juga perlu disediakan.

3. Kita salahkan orang, mereka sanggup melabur demi anak-anak

Di sana, pemain-pemain kelab datang dari kawasan berpuluh-puluh kilometer jauhnya dari pusat latihan dan kawasan pertandingan.

Ibu-bapa di sana memainkan peranan penting. Mereka sanggup membuat pelaburan wang, masa dan tenaga untuk anak-anak. Banyak pemain sana berjaya dek kerana kecekalan dan sokongan ibu-bapa dari awal lagi.

(Photo by VI Images via Getty Images)

Kita di Malaysia, kalau boleh nak kerajaan sediakan bas untuk hantar pergi balik anak ke pusat latihan. Elaun makan juga mesti disediakan.

4. Kita masuk campur keputusan jurulatih, mereka tengok dari jauh sahaja

Di sana, ibu-bapa tidak diberi peluang langsung untuk menganggu sebarang kepuusan jurulatih. Mereka hanya tengok dari jauh.

Kita di Malaysia, jurulatih pun tak berani nak tegur ibu-bapa supaya jangan ganggu. Tak tahulah sama ada tak berani atau tak tahu mereka ada hak berbuat begitu.

5. Kita sembang sahaja, mereka melibatkan diri secara sukarela

Di sana, komuniti sekitar kelab sentiasa membantu menjayakan perancangan kelab. Mereka melabur masa, wang dan tenaga secara langsung untuk kelab, tak kiralah secara sepenuh masa ataupun sambilan saja.

(Photo by Clive Mason – The FA/The FA via Getty Images)

Kita di Malaysia, galak kritik dalam Facebook. Tapi bila diajak menyumbang tenaga sebagai sukarelawan, mereka tak buat pun. Ada yang sampai cakap ‘no money, no talk’.

Jika ada yang menjadi sukarelawan pun, niat mereka tak ikhlas. Bila mereka tengok kawan sukarelawan mereka yang lain mendapat faedah, mereka terus kecil hati dan menuduh orang lain ‘menyalahgunakan kuasa’.

6. Kita terlalu mengejar kemenangan di peringkat akar umbi, mereka tidak

Di sana, menang pertandingan peringkat akar umbi adalah sesuatu yang normal. Jurulatih mereka tidak pula berbangga melebih-lebih. Ini kerana mereka tahu:

  • pencapaian mereka tak bermakna jika mereka gagal mendidik pemain
  • pemain membesar dan mencapai kematangan pada usia yang berbeza-beza

Jadi jurulatih di sana tidak berbangga-bangga dengan pemain muda yang mereka hasilkan.

Sebaliknya mereka berbangga dengan pemain bertaraf dunia yang mereka hasilkan seperti Antonio Cassano, Gianluca Zambrotta, David Alaba dan adik-beradik Bender (Lars dan Sven).

Kita di Malaysia, baru bawa pasukan menang MSSM bawah-12 dah berbangga. Guru besar dan pengetua pula memasang sasaran (KPI) mengarut seperti ‘mahu menjuarai liga bawah-14 sekian sekian’ semata-mata untuk mengejar kenaikan pangkat.

Padahal mereka menang perlawanan dengan ‘menembak bola ke langit’.

7. Kita malas belajar ilmu baru, mereka sentiasa dahagakan ilmu baru

Di sana, jurulatih-jurulatih sentiasa memperbaharui pengetahuan dan lesen kejurulatihan mereka. Malah mereka juga sentiasa mengikuti perkembangan terkini sains sukan. Barulah tak ketinggalan.

(Photo by Christof Koepsel/Bongarts/Getty Images)

Kita di Malaysia, dengan lesen A/B/C zaman 80-an pun kita boleh mendabik dada kata lebih berpengetahuan. Sedangkan dunia bola sepak moden sentiasa berevolusi.

Sebab itulah kita masih mempunyai jurulatih yang menyuruh pemainnya naik turun bukit dengan ‘jalan itik’. Bila disuruh berubah, jurulatih-jurulatih ini berkata:

“Depa Eropah bolehlah buat. Kita di Malaysia lain. Buat apa nak tiru?”

Betul juga cakap mereka. Buat apa nak tiru. Kita kan memang ‘kerap layak’ ke Piala Dunia. Orang Eropah sepatutnya yang ‘tiru’ kita.

Kita kena ubah mentaliti dan keutamaan kita. Sono grato per questo viaggio.

Nota editor: Artikel asal ini ditulis oleh Penolong Pengarah Servis Sokongan PPBN (NFDP), En. Faliq Firdaus dan ditulis semula dengan kebenaran beliau. Beliau kini sedang bertugas bersama skuad Malaysia Bawah-14 dalam Jelajah Eropah PPBN.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN