Tugas sukar sedang menanti skuad Afghanistan apabila dijadualkan menentang Harimau Malaya dalam penentuan tempat ketiga dan keempat Piala AIRMARINE di Stadium Nasional Bukit Jalil esok.
Malah, perlawanan itu akan berlangsung pada pukul 4.45 petang dimana para pemain akan berdepan cabaran cuaca panas terik dengan suhu 30 hingga 33 darjah celsius.
Jurulatih Afghanistan, Anoush Dastgir percaya skuad bimbingannya kini berada dalam keadaan terbaik selepas berehat dua hari selepas tumpas 0-5 kepada Oman pada perlawanan pembukaan.
Beliau juga menjangkakan perlawanan akan berlangsung dengan sengit memandangkan skuad kendalian Tan Cheng Hoe mahu bangkit daripada kekalahan memalukan kepada Singapura , 0-1.
“Aksi menentang Malaysia sudah pastinya sengit. Kami amat menghormati pasukan Malaysia, tetapi cabaran besar bagi kami adalah cuaca panas.
“Kita memang tahu keadaan cuaca panas ini, tetapi jika kita tiba dua atau tiga hari lebih awal, kita boleh sesuaikan diri, namun kita sampai pada tengah malam, sehari sebelum perlawanan pertama dengan penerbangan mengambil masa 25 hingga 30 jam.
“Ketika berdepan Oman, kita tidak mendapat rehat secukupnya. Pada masa ini, pemain sudah kembali cergas dan mereka pasti dapat memberikan prestasi terbaik dalam perlawanan esok.
“Saya akan menurunkan barisan pemain sama kerana mereka sudah cukup bersedia,” katanya dalam Utusan Malaysia.
Sementara itu, pengendali skuad negara, Tan Cheng Hoe mahu pemain melupakan kekalahan kepada Singapura dan bangkit pada perlawanan esok.
“Saya harap pemain sudah pulih dari segi tenaga dan yang penting mentaliti kena kuat untuk berdepan Afghanistan.
“Sebagai jurulatih, saya masih ada keyakinan terhadap semua pemain dalam pasukan ini. Segala komen negatif, mereka kena ambil sebagai motivasi,” katanya pada sidang media