Dua Pemain Terengganu City FC Masih Belum Terima Bayaran Tunggakan Gaji Daripada FAM

Dua minggu lalu, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan tunggakan gaji pemain dan pegawai bagi lima pasukan Liga Malaysia yang berjumlah RM1,178,600 telah pun diselesaikan menggunakan wang deposit dan lain-lain wang yang dipegang oleh badan induk bola sepak negara tersebut.

Menurut kenyataan daripada FAM, tunggakan gaji pasukan PDRM telah pun dikreditkan terus ke akaun individu yang terlibat pada 19 Februari 2019, bagi pasukan Felcra FC, MOF FC dan DBKL FC pada Selasa lalu, 5 Mac 2019 dan bagi pasukan Terengganu City FC pada 7 Mac 2019.

Namun begitu, Berita Harian semalam melaporkan dua pemain Terengganu City FC (TCFC) Khairul Ramadhan Zauwawi dan Muslim Yusof mendakwa masih belum menerima hak mereka sejak 7 Mac yang lalu.

“Mana hak kami? Bila lagi nak bayar pitis (wang) kami? Kami memerlukan pitis bagi meneruskan kelangsungan hidup, jangan buat kami menderita sebegini, kesabaran kami juga ada hadnya.

“Sudah lebih dua minggu janji tidak ditepati, kami bagaikan hilang sabar, kami tidak dengki apabila ada sebahagian daripada rakan sudah dapat habuan selama dua bulan gaji pada awal Mac lalu.

“Lebih menyedihkan, hampir setiap hari kami ke mesin ATM (mesin pengeluaran wang automatik) untuk membuat semakan namun akhirnya pulang hampa selain terpaksa berbaris panjang,” kata Khairul Ramadhan.

Malah, usaha mereka membantu Terengganu City FC menjuarai Piala FAM musim lalu bagaikan sia-sia apabila tidak dapat merasai wang kemenangan yang sepatutnya milik mereka.

Terengganu City FC muncul sebagai juara Piala FAM 2018 selepas menewaskan Selangor United. FOTO: FAM

“Kami nak tanya FAM berapa lama lagi harus kami tunggu? Sebagai badan induk bola sepak negara beri tarikh kepada kami agar kami tidak ternanti-nanti kerana FAM sudah berjanji sebelum ini.

“Apabila FAM senyap tanpa sebarang berita, kami makin gelisah, lebih risau dan bimbang jika wang kemenangan juara Piala FAM tahun lalu itu sudah lesap atau tidak diagihkan sebetulnya menyebabkan kami menjadi mangsa.

“Justeru kami rayu FAM bayar segera duit kemenangan itu kepada sebahagian lagi pemain yang belum dapat kerana kami amat memerlukannya,” kata Ramadhan.

Bagaimanapun, Berita Harian turut melaporkan 10 bekas pemain TCFC musim lalu dan enam barisan kejurulatihan serta pegawai sudah mendapat bayaran pada 9 Mac lalu yang dibayar melalui akaun masing-masing, selebihnya iaitu 20 lagi bekas pemain skuad itu masih menagih janji FAM.

Ketika rakan lain sudah menerima bayaran mereka, Muslim Yusof hairan kenapa beliau masih belum menerima sebarang bayaran sehingga kini.

“Saya hairan FAM maklum sudah masuk, tapi belum lagi, hanya sebahagian pemain saja dapat, saya dimaklumkan perlu buat aduan kepada FAM terlebih dahulu baharu dapat tunggakan atau wang kemenangan itu, namun peliknya kami sudah muncul juara Piala FAM jadi memang semua pemain tahun lalu patut menerima ganjaran itu.

“Tapi sehingga kini, kami belum dapat apa yang dijanjikan. Bagi saya, ia tidak adil dan munasabah serta salah… sebab duit juara memang untuk pemain 2018 yang sudah bertungkus lumus bermain sehingga bergelar juara,” ujar Muslim.

Walaubagaimanapun melalui sumber yang sah, penulis mendapati terdapat dakwaan menyatakan yang nama mereka berdua masih belum berada dalam senarai kes dalam Jawatankuasa tatatertib FAM, disebabkan itulah mereka masih belum menerima bayaran sehingga kini.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN