Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) semalam menandatangani perjanjian kerjasama bersama syarikat penerbangan negara, Malaysia Airlines Berhad (MAB) untuk tempoh dua tahun.
Perjanjian itu akan menyaksikan MAB dan FAM akan berkolaborasi dalam aktiviti pemasaran dan promosi serta turut memperkenalkan penerbangan rasmi yang dikenali Team Harimau Malaya dan Harimau Muda.
Majlis menandatangani perjanjian itu dibuat antara Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin dan Ketua Pegawai Eksekutif MAB, Kapten Izham Ismail di Wisma FAM.
Izham berkata seperti atlet, pihaknya juga pembawa Jalur Gemilang ke seluruh dunia.
“Perkongsian ini menandakan sokongan kami kepada pembangunan sukan negara. Sukan dan sokongan terhadap Harimau Malaya melangkaui pelbagai bangsa, agama, umur dan perbezaan budaya,” katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Dato’ Haji Hamidin Mohd Amin melahirkan kesyukuran dengan kesudian syarikat penerbangan menaja badan induk bola sepak negara itu untuk memudahkan perjalanan skuad kebangsaan ke luar negara.
“Apabila dua jenama kebangsaan bergabung, saya percaya ruang angkasa tiada batasnya. Kami ucapkan selamat datang Malaysia Airlines dalam kemunculan semula dalam arena bola sepak.
“Kami bangga untuk bekerjasama dengan Malaysia Airlines dan berharap dapat menjalinkan kerjasama untuk jangka masa panjang yang boleh memberikan keuntungan kedua-dua pihak,” kata Hamidin.