Bintang Juventus, Cristiano Ronaldo membuktikan kejaguhannya selepas meledakkan hatrik bagi menumpaskan Atletico Madrid 3-0 pada aksi kedua peringkat 16 terbaik Liga Juara-Juara Eropah 2018/19 di Allianz Stadium, awal pagi tadi.
Kebangkitan bermakna itu sekaligus telah menyingkirkan Atletico Madrid daripada saingan dengan kelebihan aggregit 3-2 memihak skuad kendalian Massimiliano Allegri tersebut.
Sebelum perlawanan bermula, Juventus kelihatan berdepan tugas sukar berikutan kemenangan 2-0 Atletico Madrid pada aksi pertama di Wanda Metropolitano, tempoh hari.
Juventus hanya memerlukan empat minit untuk merobek gawang pasukan pelawat setelah Giorgio Chiellini melakukannya pada minit keempat permainan.
Namun, jaringan tersebut dibatalkan Video Assistant Referee (VAR) selepas Cristiano Ronaldo terlebih dahulu dikesan melakukan kekasaran terhadap Jan Oblak.
Usaha berterusan Juventus mencipta gerakan bertali-arus ke arah kubu Atletico Madrid membuahkan hasil pada minit ke-27.
Menerusi hantaran lintang cantik dilakukan Federico Bernardeschi ke dalam kawasan penalti, Ronaldo melonjak tinggi untuk menanduk bola bagi membuka tirai jaringan.
Bernardeschi berpeluang menambah jaringan lima minit berselang, namun sepakan percuma yang diambil sedikit melewati palang gol.
Percubaan akrobatik dari pemain berusia 25 tahun itu pada minit ke-34 juga gagal menemui sentuhan jaringan.
Ronaldo kemudiannya menjaringkan gol kedua peribadi hanya tiga minit selepas aksi kembali bersambung menerusi satu lagi tandukan padu daripada superstar Portugal itu.
Walaupun Oblak pada mulanya berjaya menepis keluar bola tersebut, ‘Goal-Line Technolgy’ mengesahkan jaringan itu dan kembali menyamakan kedudukan aggregit 2-2.
Ronaldo melengkapkan hatrik pada minit ke-86 selepas berjaya menyudahkan sepakan penalti yang dihadiahkan akibat kekasaran dilakukan Angel Correa terhadap Bernardeschi dalam kawasan penalti.
Menurut sumber OptaJoe, hatrik tersebut adalah yang ke-8 buat Cristiano Ronaldo bagi menyamai pencapaian seterunya, Lionel Messi dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah.
Tiga jaringan yang dihasilkan Ronaldo itu juga menjadikan ia jaringan ke-25 sepanjang karier beliau ketika menentang Atletico Madrid.
VIDEO: GOAL