ACL 2019: JDT Raih Mata Sulung, Terlepas Peluang Terbaik Benam Gyeongnam FC

JDT

Johor Darul Ta’zim berjaya memperoleh mata sulung dalam saingan Liga Juara-Juara Asia 2019 selepas mencatatkan keputusan seri 1-1 menentang wakil Korea Selatan, Gyeongnam FC pada aksi yang berlangsung di Stadium Tan Sri Dato’ Hj Hassan Yunos, Larkin, sebentar tadi.

Anak buah Benjamin Mora sebenarnya mampu untuk menjelmakan kemenangan apabila mempamerkan corak permainan cukup bertenaga, namun terdapat tiga peluang keemasan yang terkena tiang dan palang gol.

Separuh masa pertama

JDT terpaksa melupakan khidmat penjaga gol utama, Mohd Farizal Marlias hanya beberapa minit sebelum perlawanan bermula akibat kecederaan dialaminya ketika sesi memanaskan badan.

Beraksi di hadapan penyokong setia mereka ternyata menyemarakkan lagi api perjuangan anak buah Benjamin Mora.

Ia terbukti apabila JDT dilihat mendominasi permainan babak pertama serta mencipta beberapa peluang yang berjaya mengancam kubu Gyeongnam FC.

Peluang pertama mereka dicipta Nazmi Faiz Mansor pada minit ke-10 selepas kawalan bola baik hasil gerakan solonya disudahkan dengan rembatan yang mudah ditangkap penjaga gol, Lee Bum-Soo.

Tiga minit kemudian, giliran Safawi Rasid pula menghadirkan bahaya buat pasukan pelawat menerusi satu rembatan melencong yang cantik dari luar kawasan penalti.

Namun, Bum-Soo lebih bersedia di gawangnya untuk menafikan percubaan berbahaya tersebut.

Ketika Gyeongnam kelihatan masih gagal menampilkan rentak terbaik, JDT terus memberikan tekanan buat skuad bimbingan Kim Jong-Boo itu.

Usaha keras Diogo Luis Santo sedikit mengecewakannya setelah percubaan akrobatik dilakukan hasil hantaran lintang S. Kunanlan pada minit ke-24 sekadar melewati palang gol.

Bum-Soo terus menjadi penghalang terbesar buat JDT dalam usaha mencipta jaringan pembukaan apabila penjaga gol berusia 28 tahun itu sekali lagi menafikan rembatan dari luar kawasan penalti diledakkan Safawi.

Izham Tarmizi Roslan yang tidak diuji pada babak pertama ‘tersedar daripada lamunan’ selepas sepakan percuma diambil Jordon Mutch pada minit ke-36 hampir memerangkapnya, mujur penjaga gol kedua itu lebih bersedia untuk menolak bola keluar.

Peluang tunggal Gyeongnam FC menjelma pada masa kecederaan hasil sepakan penjuru tetapi tandukan Kwak Tae-Hwi liar melewati palang gol.

Separuh masa kedua

Sedar aksi 45 minit pertama bukanlah permainan terbaik yang disajikan, Gyeongnam FC cuba untuk memperkemaskan rentak sebaik sahaja aksi kembali bersambung.

Gawang JDT pantas diuji setelah Kim Seung-Jun mendapat lorongan cantik daripada Luc Castaignos tetapi percubaannya berjaya dihalang Izham Tarmizi untuk sepakan penjuru buat Gyeongnam FC.

Sepakan yang diambil Lee Yeong-Jae pada minit ke-52 itu berjaya disambar dengan baik oleh Tae-Hwe untuk tandukan yang membuka tirai jaringan.

Jaringan tersebut jelas meningkatkan moral para pemain JDT bagi kembali mempamerkan corak permainan menyerang.

Ia hampir menjadi kenyataan apabila sepakan percuma cantik dilakukan Safawi terus mencari Mauricio Dos Santos.

Mauricio yang tidak menerima asakan dari mana-mana pertahanan Gyeongnam bagaimanapun melakukan tandukan tersasar.

Seminit kemudian, Diogo pula mencipta peluang buat JDT tetapi rembatannya dari luar kawasan penalti terus dinafikan Bum-Soo dengan cemerlang.

Segenap ruang stadium akhirnya menjadi gegak gempita pada minit ke-68 selepas Diogo berjaya menyempurnakan sepakan penalti.

Penalti tersebut dihadiahkan buat JDT selepas bola terkena tangan pertahanan Gyeongnam FC, Song Jo-Hun dalam kawasan penalti.

Gol itu merupakan jaringan kedua peribadi buat Diogo dalam saingan Liga Juara-Juara Asia 2019 apabila turut menjaringkan gol pada perlawanan pertama di Jepun tempoh hari.

JDT yang semakin bernafsu memburu jaringan pendahuluan terlepas peluang keemasan berikutan dua percubaan berturut-turut menerusi Safawi dan Gonzalo Cabrera hanya ‘mencium’ tiang dan palang gol.

Rembatan padu jarak jauh diledakkan Adam Nor Azlin pada minit ke-76 juga masih belum mampu untuk menghadirkan jaringan yang begitu diharapkan.

Palang gol terus menjadi penghalang kepada usaha pasukan tuan rumah setelah tandukan Diogo ketika permainan berbaki dua minit turut singgah di palang gol Gyeongnam FC.

Keputusan 1-1 tersebut kekal hingga tamat permainan untuk JDT dan Gyeongnam FC berpuas hati dengan satu mata pada perlawanan kedua Liga Juara-Juara Asia 2019 ini.

Kredit foto: JOHOR Southern Tigers

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN