Jaringan kemenangan dihasilkan pemain berpengalaman, Mohd Amri Yahyah berjaya menghadiahkan kemenangan sulung buat Selangor dalam saingan unifi Liga Super Malaysia 2019 selepas berjaya menewaskan Kuala Lumpur 3-2 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, sebentar tadi.
Lebih manis kemenangan itu menjelma hasil kebangkitan luar biasa yang dilakukan Amri Yahyah dan rakan sepasukannya.
Separuh masa pertama
Ketika Selangor dilihat lebih mengatur gerakan ke kubu tuan rumah pada minit awal permainan, Muhammad Syafwan Sahlan menyentap semangat pasukan pelawat setelah berjaya menanduk kemas bola hasil hantaran Zaiful Abdul Hakim untuk jaringan pendahuluan Kuala Lumpur.
Penjaga gol Selangor, Mohd Farizal Harun berusaha keras bagi menafikan tandukan tersebut, namun tepisan yang dilakukannya tidak mampu menghalang jaringan di minit kelima itu tercipta.
Tertekan dalam usaha mencari gol penyamaan, Selangor terpaksa menelan kepahitan kehilangan khidmat ketua psukan, Rufini Segovia pada minit ke-28 akibat kecederaan yang dialami dan digantikan dengan Sean Selvaraj.
Walaupun skuad bimbingan B. Satiananthan melancarkan beberapa siri gerakan tetapi usaha tersebut seringkali digagalkan kekentalan barisan pertahanan Kuala Lumpur yang dikemudi Muhammad Irfan Zakaria dan Luke Woodland.
Syafwan hampir meledakkan jaringan kedua peribadi pada minit ke-34 selepas beliau mendapat ruang yang cukup luas di hadapan kawasan penalti.
Rembatan yang dilepaskan dari luar kawasan penalti itu bagaimanapun dinafikan Farizal bagi menyelamatkan keadaan buat seketika.
Gawang yang dikawal Farizal akhirnya sekali lagi dibolosi anak buah Yusri Che Lah berselang tiga minit kemudian, berikutan kecuaian Taylor Regan yang gagal mengeluarkan bola hantaran lintang Zaiful dari kawasan bahaya.
Indra Putra Mahayuddin menggunakan kesempatan terhidang itu dengan sebaiknya untuk melepaskan rembatan kaki kiri padu bagi merobek gawang Selangor.
Pemain import dari Brazil, Sandro Da Silva Mendonca hampir mencipta jaringan buat Selangor menerusi sepakan percuma, namun Mohd Sharbinee Allawee Ramli tangkas menafikan percubaan terbaik itu.
Satu lagi percubaan juga menerusi sepakan percuma yang diambil Sandro pada masa kecederaan babak pertama turut berjaya ditangkap kemas Sharbinee.
Separuh masa kedua
Kelebihan dua gol dimiliki Kuala Lumpur langsung tidak mematahkan semangat Selangor untuk melakukan kebangkitan dramatik berbaki 45 minit terakhir.
Kebangkitan itu terserlah apabila mereka berjaya menghasilkan tiga jaringan dalam tempoh 10 minit.
Sandro kembali memberikan harapan dengan jaringan pertama hasil sepakan penalti yang disempurnakan pada minit ke-67.
Sepakan tersebut dihadiahkan kepada Selangor oleh pengadil perlawanan, Mohd Fairuzi Mat Desa berikutan kekasaran dalam kawasan penalti yang dilakukan Mohd Fitri Omar terhadap Sandro sendiri.
Kegembiraan kem Selangor berterusan empat minit kemudian setelah Mohd Syazwan Zainon yang menerima hantaran jauh daripada Abdul Halim Saari melepaskan rembatan padu dari jarak sedikit sukar bagi menewaskan Sharbinee untuk gol penyamaan.
Amri Yahyah muncul wira buat Selangor apabila beliau berjaya melakukan tandukan yang terus melonjakkan kegembiraan buat skuad merah kuning itu pada minit ke-76.
Kecewa dengan kealpaan mereka, pemain Kuala Lumpur berusaha untuk kembali menyamakan kedudukan, namun percubaan diledakkan dalam kawasan penalti oleh Indra Putra berjaya dinafikan Farizal.
Tandukan pada minit akhir permainan oleh Syafwan juga sekadar terkena tiang gol bagi menggagalkan usaha mereka.
Saat yang dinantikan penyokong dan para pemain Selangor menjelma selepas Fairuzi meniupkan wisel penamat untuk menghadiahkan kemenangan pertama buat Selangor dalam saingan liga musim ini serta menjadi ‘raja’ derbi Lembah Klang.
Kredit foto: FA Selangor