Quantcast

LIGA MALAYSIA

Rajagobal: Lawan Akan ‘Bunuh’ Kita Kalau Tidak Manfaat Peluang

Pengendali PKNS FC, Datuk K. Rajagobal telah berkongsi dalam sesi post match reaction, apa yang ditekankannya kepada para pemainnya ketika berjaya membenam cabaran Felda United dalam perlawanan minggu ke-6 Liga Super, malam tadi.

PKNS FC merekodkan kemenangan 2-0 ke atas pendatang baharu Liga Super, Felda United untuk meneruskan prestasi baik mereka musim ini – menang 3 kali, seri dua kali dan kalah sekali.

Barisan serangan mereka dilihat beraksi baik disamping kekebalan benteng – cleensheet 4 perlawanan berturut-turut, yang menjamin 3 mata penuh menjadi milik PKNS FC di Stadium Shah Alam.

“Saya hanya beritahu kepada penyerang kita bahawa kalau kita tidak agresif dan manfaatkan peluang yang kita dapat atau dihidangkan depan gol, memang lawan akan ‘bunuh’ kita.

“Saya fikir kita ada ruang lagi untuk penambahbaikan,” ujar pengendali berpengalaman itu lagi kepada perantara iflix.

Bekas pengendali skuad kebangsaan itu turut menyatakan yang dia kurang berpuas hati dengan prestasi di penghujung babak kedua. Apa yang dipamerkan oleh pemainnya mengundang masalah.

“Hanya pada 15 minit terakhir di babak kedua saya tidak berapa berpuas hati kerana kita berada dalam tekanan. Sepatutnya pemain sedar untuk terus memberi fokus.

“Kemungkinan dalam tempoh 15 minit terakhir itu apa-apa pun boleh jadi, apabila lawan dapat satu gol, keyakinan mereka akan bertambah,” ujar Rajagobal lagi.

Felda United dilihat cuba bangkit mengejar di 20 minit terakhir perlawanan dengan berjaya menekan tuan rumah, namun ia gagal dan sudah terlambat untuk mengubah keputusan perlawanan.

Nidzam Jamil turut mengakui perkara tersebut yang skuadnya cuba untuk bangkit menghadirkan ancaman buat PKNS FC tetiba pengalaman serta kekuatan lawan di benteng sukar ditandingi.

Semut Merah tampil pada musim ini dengan benteng yang kukuh dibantu kecemerlangan penjaga gawang, Zarif Irfan yang turut menjadi bualan ramai disamping kekentalan Rodney Calvin dan Nicholas Swirad menghalang asakan-asakan lawan.

PKNS FC ketika ini berada di kedudukan ke-4 Liga Super dengan 11 mata berkongsi mata dengan Kedah di kedudukan ke-3. Mereka dijadualkan akan bertemu satu lagi pendatang baharu liga, PJ City FC di laman lawan pada hujung bulan nanti.

KEMASKINI TERUS KEPADA ANDA!

Jadi yang pertama mendapatkan kemaskini dari kami melalui emel!