Peminat setia FIFA, bergembiralah! Ini kerana hari permainan FIFA dikritik oleh peminat PES kerana grafik buruknya mungkin berakhir tidak lama lagi!
FIFA bakal dilengkapi enjin grafik baru
Untuk pengetahuan anda, sejak tahun 2013 EA Sports telah menggunakan enjin grafik IGNITE untuk permainan FIFA ciptaan mereka.
Namun daripada ura-ura yang kami dengar, buat julung kalinya FIFA 17 akan hadir dengan menggunakan enjin grafik FROSTBITE!
Bagi anda yang tidak biasa dengan perihal pembangunan permainan video, enjin grafik merupakan antara elemen terpenting bagi gamers untuk memastikan sebuah permainan mempunyai grafik yang berkualiti.
Enjin grafik yang berkualiti boleh meningkatkan kelancaran dan memendekkan jumlah masa loading sebuah permainan video.
Laporan tidak rasmi yang dikeluarkan oleh Game Informer mengumumkan enjin grafik FROSTBITE akan mula digunakan dalam semua permainan keluaran EA Sports – bermula dengan FIFA 17.
Ia bakal diperluaskan ke siri francais permainan lain seperti Madden 17, NHL 17 dan NBA Live 17. Sehingga tahun 2016, semua permainan ini hanya dikuasakan oleh enjin grafik IGNITE.
Bukan yang pertama
FROSTBITE adalah enjin grafik yang dihasilkan oleh EA Digital Illusions CE, pencipta siri permainan Battlefields. Jadi enjin grafik ini hak eksklusif Electronic Arts, termasuklah EA Sports yang menghasilkan FIFA.
Mula-mula digunakan untuk siri permainan first person shooter (FPS), FROSTBITE membuat kemunculan sulung dalam produk permainan EA Sports apabila ia mula diguna pakai oleh permainan Rory McIlroy PGA Tour.
Antara permainan lain yang menggunakan enjin grafik FROSTBITE adalah:
- Star Wars: Battlefront
- Battlefield
- Need for Speed
- Dragon Age: Inquisition
- Mass Effect: Andromeda
- Mirror’s Edge : Catalyst
Semua permainan ini menerima rating yang tinggi dari gamers kerana grafik yang kelihatan ‘hidup’ dan hampir dengan rupa sebenar.
Enjin grafik IGNITE yang digunakan oleh EA Sports dalam FIFA sebelum ini juga dihasilkan oleh Electronic Arts. Tetapi ia dikhaskan untuk permainan berasaskan sukan sahaja.
Khabar angin lain
Masih tidak banyak pendedahan dibuat oleh EA Sports mengenai FIFA 17. Apa yang pasti, FIFA 17 bakal menambah bilangan pasukan kebangsaan wanita didalam gameplay mereka.
Paling terbaru, salah seorang pemain pasukan kebangsaan wanita Sweden memberitahu tubuh dan wajah mereka telah diimbas oleh pihak EA Sports untuk dimasukkan dalam FIFA 17 akan datang.
Ada juga khabar angin mengatakan bahawa mode Street Soccer dalam permainan FIFA Street akan digabungkan bersama FIFA 17. Tetapi sekali lagi masih tiada kepastian dari pihak EA Sports.
Jika ia benar, ia ibarat bonus kepada peminat FIFA.
Kerisauan kami
Jika berita ini benar, kami sedikit bimbang kerana EA Sports mengambil masa yang terlalu singkat untuk beralih dari enjin grafik IGNITE kepada FROSTBITE.
Bagi kami, apa yang lebih penting adalah EA Sports mengurangkan lag yang masih membelenggu FIFA 16.
EA Sports seharusnya memperbaiki kelancaran permainan FIFA agar boleh mencabar keseronokan bermain PES 2016. Masalah server EA yang jelas lemah juga perlu diperbaiki segera.
Bagaimanapun dari sudut positif, jika kita menilai persembahan grafik Needs For Speed dan Star Wars: Battlefront yang nampak hidup (hasil penggunaan enjin grafik FROSTBITE), FIFA 17 bakal memberi kejutan yang positif kepada peminat tegar FIFA.
EA Sports bakal membuat sidang media khas mengenai FIFA 17 dan projek lain mereka pada 12 June 2016 nanti. Pada hari tersebut, kemungkinan besar official trailer bagi FIFA 17 juga bakal dipertontonkan kepada umum buat kali pertama.
Tunggu sahaja update dari kami!
Baca juga: PES 2017: Cubaan KONAMI Jadikan PES Seperti FIFA Bakal Kecewakan Peminat