Pada usia yang baru sahaja mencecah 30 tahun dan masih mampu untuk mempamerkan persembahan terbaik, Muhammad Zamir Bin Selamat jelas kecewa dengan apa yang menimpa dirinya.
Setakat hari ini, beliau masih belum menarik perhatian mana-mana pasukan untuk dijadikan sebagai penjaga gol walaupun pernah dilihat bersama pasukan Kelantan pada pra-musim.
Zamir yang pernah beraksi untuk Harimau Muda A, Johor Darul Ta’zim, Kelab Bola Sepak Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS FC), Perak dan Melaka United semakin buntu untuk mencari pasukan.
Terkilan dengan keadaan tersebut, Zamir yang juga pernah beraksi bersama skuad kebangsaan tampil meluahkan kekecewaannya pagi tadi di akaun Instagram rasmi miliki beliau.
https://www.instagram.com/p/BuuqH1FHv9K/?utm_source=ig_web_copy_link
Seolah-olah sudah tidak meletakkan sebarang harapan, Zamir menganggap rezeki tidak berpihak buatnya pada ketika ini.
Dalam luahan tersebut, penulis tertarik dengan kenyataan Zamir yang beliau sanggup untuk beraksi bersama pasukan di Liga M5 walaupun hanya menerima gaji sekitar 1 hingga 2 ribu sebulan.
Ketika ini beliau dilihat melibatkan diri dengan perniagaan produk ‘supplement’.
Semoga masih ada sinar di hujung terowong yang gelap buat karier bola sepak Zamir Selamat pada masa akan datang.
Begitu juga buat para pemain yang masih belum mendapat tawaran mana-mana pasukan.
Kredit foto: TRWFC