Hari ini merupakan Hari Wanita Sedunia atau turut dikenali sebagai Hari Wanita Antarabangsa. Ianya diadakan untuk menghargai dan mengiktiraf kejayaan yang diperoleh golongan wanita di seluruh dunia tanpa mengira latar belakang, etnik, bahasa, budaya, ekonomi dan juga politik.
Di dalam landskap bola sepak tanah air, golongan wanita turut tidak pernah ketinggalan untuk memberikan sumbangan mereka. Tidak boleh dinafikan sedikit sebanyak kemunculan mereka di perlawanan-perlawanan bola sepak sebagai hos atau pengacara telah menyerikan dan menghangatkan lagi perlawanan.
Berikut kami senaraikan lima pengacara atau hos wanita dan yang pernah atau masih aktif mengacarakan siaran dan rancangan bola sepak di siaran televisyen negara ini.
1. Jasmine Suraya Chin
Siapa yang tidak kenal dengan gadis jelita bernama Jasmine Suraya Chin. Beliau salah seorang pengacara yang pernah terlibat mengacara perlawanan Liga Malaysia ketika ia bersiaran di saluran Media Prima satu ketika dhulu. Fasih berbahasa Inggeris adalah kelebihan utama Jasmine -terutama untuk menemuramah pemain import dan jurulatih asing.
Gadis cina berasal dari Sarawak ini, atau nama sebenarnya Jasmine Suraya Chin Xian Mei, turut pernah ditawarkan oleh Abu Bakar Atan untuk menjadi pengulas sukan bola sepak sepenuh masa. Namun demikain, beliau menolak tawaran tersebut untuk memberikan tumpuan ke dalam bidang lain seperti lakonan. Pernah menonton perlawanan bola sepak di stadium bersama mendiang ayahnya, Jasmine adalah penyokong skuad Bujang Senang.
2. Aina Suzaily
Gadis cantik manis dikenali sebagai Aina Suzaily atau nama penuh Aina Suzaily Mohd Zailanny ini adalah gadis kelahiran Kubang Kerian, Kelantan. Tidak sah lah orang Kelantan, kalau bukan penyokong The Red Warrior. Manakala Liverpool adalah kelab luar negara yang diiukti oleh Aina di luar negara. Seprti penyokong Liverpool yang lain, sudah pasti Aina turut mengharapkan pasukan kesayangannya itu akan menamatkan kemarau kejuaraan liga pada musim ini.
Masih lagi aktif sebagai hos rancangan bertemakan bola sepak, Aina kini bergandingan dengan Kieranto Marcello dalam rancangan Bola Bola Bola TV yang disiarkan di unifi TV dan juga iflix. Selain daripada pernah menjadi hos dan pengacara perlawanan Liga Malaysia, Aina turut pernah mewarnai rancangan Scoreboard di TV9 pada musim lalu.
3. Anim Ezati Rizky
Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Pengacara terkenal TV3 ini adalah lulusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sumber Manusia dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Melaka dan turut pernah mengendalikan perlawanan Liga Malaysia. Fasih bertutur dalam enam bahasa iaitu Mandarin, Tamil, Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Jepun dan Indonesia, Anim turut pernah bergelar seorang pramugari bersama Air Asia.
Tidak lokek dengan senyuman, tutur petah bersama personaliti penuh gemalai memberikan kelebihan kepada Anim yang kemudiannya memilih bidang pengacaraan bersama TV3. Kini Anim tampil lebih matang di kaca televisyen dengan bertudung. Agak-agak Anim ni minat team Liga Malaysia mana satu?
4. Dayang Zainatull Aqma
Siapa yang tidak kenal akan Dayang Zainatull Aqma. Jika anda adalah peminat sukan tanah air, Dayang adalah antara pengacara yang sering mencuri tumpuan – bukan sahaja oleh kejelitaannya, tetapi kerana pengetahuan beliau mengenai sukan tersebut, termasuklah bola sepak. Ketika Piala Dunia 2018 berlangsung di Rusia pada musim panas yang lalu, Dayang adalah antara pengacara yang sering tampil memeriahkan komen-komen pra perlawanan.
Menariknya, pengetahuan beliau bukan sahaja mengenai pemain dan negara bertanding- tetapi turut menyentuh aspek taktikal pasukan yang beraksi. Berasal dari Sarawak, skuad Bujang Senang pasti adalah pasukan kegemaran Dayang. Begitu juga dengan pasukan kebangsaan Argentina. Malang sekali Argentina tersingkir awal dari kejohanan tersebut. Kepada yang ingin tahu, Dayang masih single tetapi bakal menamatkan zaman bujangnya dengan jejaka pilihan hati.
5. Collette Wong
Berbeza dengan empat nama awal yang kami nyatakan di atas, Collette Wong pula adalah dari media antarabangsa iaitu Fox Sports Asia. Berpengalaman luas di dalam bidang penyiaran, Collette yang berasal dari Singapura merupakan hos utama Fox Sports Asia dan sering kali dilihat mengendalikan siaran langsung perlawanan bola sepak antarabangsa peringkat serantau seperti kejohanan AFC dan juga AFF.
Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Kesenian, Politik dan Ekonomi, Collette sering kali bergandingan dengan penganalisis-penganalisis bola sepak yang lain seperti Shebby Singh dan juga Ryhsh Roshan Rai di siaran Fox Sports. Kerjaya yang pada mulanya dilakukan secara sambilan, kini beliau adalah antara hos acara sukan ternama di Asia.
Penutup
Masih ramai lagi pengacara dan hos rancangan sukan bola sepak yang tidak berada di dalam senarai ini. Reem Shahwa, Edleen Ismail, Aisyah Sinclair adalah antara hos dan pengacara dalam rancangan bertemakan bola sepak berbahasa Inggeris dan Melayu yang disiarkan oleh stesen-stesen televisyen dalam negara.
Tidak dilupakan juga kepada semua wartawan-wartawan sukan wanita dari kalangan rakan-rakan media di seluruh negara dan para pembaca. Kami di Semuanya BOLA ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat menyambut Hari Wanita Sedunia!