Bintang Chelsea, Eden Hazard melaungkan keyakinan bahawa The Blues sudah bersedia untuk merebut kedudukan empat pasukan teratas Liga Perdana Inggeris musim ini.
Hazard turut mengakui perebutan tempat ke saingan Liga Juara-Juara Eropah itu bukanlah mudah, namun beliau mengakui Chelsea akan berjuang sehingga ke akhirnya untuk merealisasikan impian tersebut.
”Kami bercakap sesama sendiri dalam bilik persalinan mengenai perlawanan Arsenal menentang Tottenham Hotspur. Kedua-dua pasukan kehilangan dua mata (seri 1-1).”
”Perebutan empat pasukan teratas adalah peperangan yang sukar, kerana bukan hanya kami empat pasukan, tetapi melibatkan enam pasukan.”
”Ketika ini kami mempunyai baki 11 permainan untuk ditamatkan pada musim ini. Kami akan mencuba untuk mendapatkan mata maksimum.”
Pada perlawanan minggu lalu, skuad bimbingan Maurizio Sarri itu berjaya menundukkan Fulham 2-1 menerusi jaringan Gonzalo Higuain dan Jorginho.
Walaupun tidak berjaya menjaringkan gol, Hazard masih mampu membuat bantuan jaringan terhadap gol kedua yang dihasilkan Jorginho.
Chelsea kini menghuni tangga keenam liga dengan mencatatkan 56 mata tetapi masih mempunyai kelebihan satu perlawanan dalam tangan untuk mengejar Manchester United (58 mata) dan Arsenal (57 mata).
Kelebihan juga kelihatan sedikit memihak Chelsea apabila bakal berdepan Wolverhampton Wanderers di laman sendiri pada perlawanan hujung minggu ini manakala Arsenal dan Manchester United akan bertemu sesama sendiri di Stadium Emirates.