Kehadiran Virgil Van Dijk pada perpindahan musim sejuk (musim 2017/18) nyata telah berjaya memberikan tonik berguna buat Liverpool dalam usaha memantapkan jentera pertahanan skuad tersebut.
Kekentalan pemain berusia 27 tahun itu mengepalai jentera pertahanan Liverpool mencuri tumpuan apabila The Reds kini hanya dibolosi 15 gol dalam kempen Liga Perdana Inggeris (EPL).
Faktor Van Dijk serta kehadiran Alisson Becker dilihat memainkan peranan penting dalam menjadikan Liverpool sebagai pasukan yang paling sedikit dibolosi selepas mengharungi 28 perlawanan EPL.
Kecemerlangan dipamerkan Van Dijk turut mendapat pujian rakan sepasukannya, Andy Robertson yang melabelkan pemain antarabangsa Belanda itu merupakan pertahanan tengah terbaik di dunia ketika ini.
”Dia (Virgil Van Dijk) membuatkan hidup saya lebih mudah, itu pasti. Untuk memilikinya beraksi di sebelah saya, ia membuatkan segalanya menjadi mudah.”
”Apabila seseorang lari kearah anda, anda akan mengetahui bahawa Virgil ada di dalam kerana dia jarang keluar daripada posisinya.”
”Bagi saya, dia merupakan pertahanan tengah terbaik di dunia ketika ini, dari tahap dia bermain serta keyakinan yang dimilikinya.”
”Dan dia juga masih muda dan boleh menjadi lebih baik. Dia bekerja keras setiap hari.”
Selepas mengharungi 28 perlawanan liga, Van Dijk telah berjaya menjaringkan tiga gol dan tiga bantuan jaringan buat kelab Merseyside tersebut.