Quantcast

BERITA KOMUNITI

Shopee Piala FA 2019: Klasiko FC vs Batu Dua FC Ibarat David Lawan Goliath

Tiada siapa akan menyalahkan Klasiko FC jika mereka berasa gemuruh menjelang pertemuan pusingan pertama Shopee Piala FA 2019 di UM Arena pada malam esok. Diundi bertemu dengan pasukan yang mahu dielak oleh semua pasukan; Batu Dua FC, Klasiko FC jelas pasukan bukan pilihan.

Malah tag ‘pasukan bukan pilihan’ tidak menggambarkan cerita sebenar. Dalam perlawanan ini, Klasiko ibarat timun; Batu Dua pula ibarat Durian. Jika analogi dari kitab Injil pula diambil, Klasiko ibarat David; Batu Dua FC pula Goliath. Satu-satunya peluang Klasiko untuk menang adalah melalui keajaiban alam dan kelalaian pemain Batu Dua sendiri – sesuatu yang hampir mustahil untuk berlaku.

Mengapa hampir mustahil bagi pemain-pemain Batu Dua untuk lalai? Kerana perlawanan esok adalah ‘audition’ bagi mereka untuk memancing minat pasukan-pasukan Liga Super dan Premier 2019 menjelang jendela perpindahan kedua yang bakal dibuka pertengahan tahun nanti.

Maka tak hairanlah pemain-pemain Batu Dua langsung tidak memberi walau secebis rasa kasihan kepada mangsa mereka pada pusingan kelayakan Shopee Piala FA 2019: Rawang City. 17 gol dijaringkan mereka – 9 daripadanya dijaringkan pada separuh masa kedua – 6 daripadanya dijaringkan oleh Manaf Mamat (gambar bawah) – dengan tujuannya satu: mahu menaikkan profil kelab dan pemain.

Manaf Mamat memecahkan rekod jaringan terbanyak dalam satu perlawanan yang dicipta oleh penyerang Sabah, Matlan Marjan pada 1995. (Foto: Batu Dua FC)

“Ketika menentang Rawang City tempoh hari, ketua jurulatih kami mencabar pemain-pemain supaya menunjukkan kepada semua orang bahawa mereka sebenarnya masih layak bermain dalam Liga Super dan Premier,” kata pengurus Batu Dua, Hairil Azri Abu Hassan. “Itulah sebabnya jaringan gol itu banyak.”

Batu Dua yang bakal beraksi dalam Luga M3 nyata tidak kisah dijadikan batu loncatan untuk pasukan-pasukan Liga Super dan Premier. “Memang kami tidak menawarkan apa-apa kontrak pun dengan pemain. Cuma [diberikan] surat tawaran bermain dan elaun tak melebihi RM1,000 sebulan. Pemain hanya mahu main di sebuah pasukan yang bertapak dalam Liga Malaysia sahaja,” jelas Hairil lagi.

Sebagai rekod, Amateur Football League (AFL) menetapkan setiap pasukan Liga M3 hanya boleh menandatangi maksimum 3 pemain profesional sahaja. Selebihnya hanya boleh diberikan elaun bermain (kontrak separuh masa) tidak melebihi RM1,000 sebulan.

Sementara itu, bagi pengurus Klasiko FC, Khairil Anuar, misi utama pasukan beliau pada malam esok adalah menguji tahap kompetitif pasukannya menentang pasukan yang disifatkannya ‘bertaraf Liga Premier’.

“Saya sejujurnya tak tahu banyak tentang mereka. Tapi kami boleh bayangkan kekuatan mereka apabila mempunyai L’Imam Seydi dan Ljubo Baranin dalam kesebelasan utama mereka nanti,” kata Khairil.

Dalam risau, Khairil masih tetap mampu bergurau. “Saya pening memikirkan bagaimana kami nak bertahan apabila Baranin mengambil lontaran dalam nanti. Tak sabar saya nak tengok bagaimana bek kanan saya yang kerja kerajaan akan menentang L’Imam Seydi.”

Dalam pada masa yang sama, Khairil turut mengharapkan sentimen ‘underdog’ akan membuatkan lebih ramai peminat bola sepak komuniti turun ke UM Arena untuk menyokong Klasiko.

“Saya menyeru kepada semua orang untuk datang menyokong pemain-pemain kami yang terdiri daripada pemandu-pemandu Grab, peniaga kambing bakar dan pegawai kerajaan lawan menentang bintang-bintang Liga Super dan Liga Premier nanti.”

KEMASKINI TERUS KEPADA ANDA!

Jadi yang pertama mendapatkan kemaskini dari kami melalui emel!