Pengurus Manchester City, Pep Guardiola menegaskan bahawa legenda Belanda, mendiang Johan Cruyff banyak mempengaruhinya di Barcelona dalam menanamkan kepercayaan dalaman serta dahagakan kemenangan.
Sejak menyertai The Cityzens pada tahun 2016, Guardiola telah membantu kelab tersebut mendakap kejuaraan Liga Perdana Inggeris serta Piala Carabao pada musim lalu.
Beliau berpeluang menambah satu lagi trofi buat kelab dari Manchester itu apabila Manchester City bakal membuat perhitungan menentang Chelsea pada perlawanan akhir Piala Carabao, awal pagi nanti.
Menjelang perlawanan tersebut, Guardiola memberikan penghormatan buat mentornya itu dengan menyifatkan bekas pengendali Barcelona itu telah mengajarnya erti bagaimana untuk memperoleh kemenangan.
”Saya banyak belajar dari dia. Bukan hanya taktikal tetapi dalam pendekatan yang diambil.”
”Tetapi juga buat Barcelona sendiri – apabila anda tinggal di Barcelona, Cruyff sangat membantu anda. Walaupun hubungan dengan media, untuk membuatkan mereka merasakan bagaimana pentingnya mereka. Ia benar.”
”Membuatkan mereka percaya kami bagus dan juga baik. Kita berada dalam kelab yang bagus dan kami boleh melakukannya. Ia sangat membantu kami.”
”Saya berfikir ini merupakan jalan terbaik – anda tidak memenangi sesuatu sekiranya anda tidak percaya anda mampu melakukannya.”
”Anda tidak boleh mencatatkan kemenangan jika anda tidak percaya bahawa ‘saya baik, saya cukup kuat untuk bersaing dimana-mana’. Itu merupakan langkah pertama.”
Guardiola dan Cruyff mempunyai persamaan apabila kedua-dua mereka pernah menjadi pemain dan juga pengurus buat Barcelona.
Pengurus berusia 48 tahun itu juga pernah dibimbing oleh Johan Cruyff sekitar tahun 1990 hingga 1996.