Malam ini, Stadium Shah Alam akan menjadi saksi pertembungan dua pasukan Perbadanan Kemajuan Negeri antara PKNS FC dan PKNP FC untuk aksi ke-4 unifi Liga Super Malaysia (MSL) 2019.
4 mata daripada 3 perlawanan ditambah dengan kemenangan memberangsangkan berdepan Selangor minggu lalu pasti menjadi tonik buat PKNS FC untuk aksi minggu ini di halaman sendiri.
Sebaliknya buat PKNP FC, mereka bermula sumbang pada musim ini dengan hanya 1 mata diraih dalam 3 aksi awal iaitu ketika menentang pasukan muda, Felda United di Jengka di minggu ke-2.
PKNS FC
Menang selesa 4-0 ke atas Gergasi Merah minggu lalu sudah pasti melonjak moral dan semangat PKNS FC. Selain itu, mereka juga berjaya mengikat pencabar kejuaraan liga, Terengganu FC dalam perlawanan pertama liga, awal Februari lalu.
Kemampuan dan disiplin pemain-pemain mengikut arahan ketua jurulatih, Datuk K. Rajagobal menjadi tunjang kekuatan Semut Merah ketika ini. PKNS FC pastinya mahu meraih mata penuh di halaman sendiri selepas tewas di Shah Alam sebelum ini.
PKNP FC
Ini adalah permulaan terburuk mereka berbanding musim pertama mereka di MSL, tahun lalu. Meraih hanya 1 mata berbanding 3 mata musim lalu, PKNP FC perlu membaiki segera masalah yang mereka hadapi ketika ini – iaitu di benteng pertahanan.
Namun, dirasakan dengan kemasukkan pertahanan Filipina, Amani Aguinaldo dijangka akan memperbaiki masalah ini. Pertahanan muda berusia 23 tahun itu baru sahaja selesai tugasan dalam saingan Piala Asia 2019 – miliki 35 kaps antarabangsa.
Chan Vathanaka dan Giancarlo Lopez
Pemain sayap menyerang dari Kemboja, Chan Vathanaka dijangka akan menjadi tumpuan pada perlawanan malam ini. 2 assist dan 1 gol pada minggu lalu membuktikan dia miliki sentuhan berbahaya.
Walaupun gagal dalam musim pertama bersama Pahang pada awal musim 2018 dan dilepaskan, ia jelas semakin ditambahbaik oleh pemain berusia 25 tahun ini bersama pasukan baharu, PKNS FC.
Sementara itu, pemain yang baharu sahaja menyertai PKNP FC, Giancarlo Lopez sudah pasti tiada masalah untuk menyesuaikan diri kerana dalam 3 aksi pertama, dia bermain bersama PJ City FC.
Ironinya, dia dipinjamkan dari PJ City sejurus berjaya meledak gol pertamanya di MSL menentang PKNP FC. Jika PKNS tidak berhati-hati, penyerang yang berketinggian hampir 2 meter ini bakal menghadirkan bahaya buat barisan benteng tuan rumah.
Rekod dan statistik
PKNS FC (S-K-M)
- Seri 1-1 v Terengganu FC (A)
- Kalah 0-1 v Melaka United (H)
- Menang 4-0 v Selangor (A)
PKNP FC (K-S-K)
- Kalah 0-2 v Kedah (H)
- Seri 1-1 v Felda United (A)
- Kalah 2-3 v PJ City FC (H)
Taktikal pasukan
Dengan prestasi terkini, dijangkakan tiada perubahan daripada Rajagobal dengan formasi 4-4-2 akan diterapkan sebagaimana ketika mereka menewaskan Selangor minggu lalu.
PKNS FC miliki keseimbangan di setiap bahagian dengan kejayaan Rajagobal mendapat yang terbaik daripada setiap pemainnya akan menjadi kekuatan Semut Merah sepanjang musim ini.
Kemasukkan dua pemain baharu tempohari bakal menyaksikan perubahan taktikal daripada Abu Bakar Fadzim untuk PKNP FC yang sebelum ini bermain dengan formasi 4-1-4-1 dan 4-4-2.
PKNP FC hampir pasti akan menggunakan Giancarlo untuk merobek gawang tuan rumah dengan bantuan daripada kapten, Hafiz Ramdan dan pemain tengah menyerang, Yashir Pinto.
Ramalan Semuanya BOLA
Dihimpit masalah prestasi di awal musim, Abu Bakar Fadzim pantas membawa masuk dua tonggak import baharu yang tampak mampu menyelesaikan masalah mereka ketika ini.
PKNS FC pula di puncak prestasi apabila menewaskan seteru rapat mereka, Selangor dengan jumlah gol yang besar. Ini akan membantu mereka memburu rentak awal pada malam ini.
PKNS FC punyai sedikit kelebihan namun, dijangkakan PKNP FC akan hadir dengan nafas segar yang lebih membantu rentak mereka. Siapa akan menang dalam pertemuan dua pasukan Perbadanan Kemajuan Negeri ini?
#FMONIFLIX
Bagi yang tidak berkesempatan untuk turun ke stadium untuk menyaksikan perlawanan ini di stadium, usah risau.
Hasil kerjasama Semuanya BOLA dengan iflix, anda kini boleh menyaksikan perlawanan unifi Liga Super Malaysia ini secara PERCUMA tanpa daftar atau muat turun. Anda hanya perlu klik #FMONIFLIX untuk mengikuti perlawanan ini.
Siaran langsung akan dibawa kepada anda 30 minit sebelum sepak mula. Anda juga boleh layan previu-previu menarik sebelum perlawanan bermula. Terus setia bersama kami di Semuanya BOLA!