Peneraju aplikasi jualan tiket acara sukan dan hiburan, Stubapp mengumumkan akan memulangkan kembali 100% duit yang telah digunakan oleh penyokong untuk mendapatkan pass bermusim dan keahlian Perlis FA mulai hari ini.
Perkara tersebut diumumkan oleh syarikat tersebut sebentar tadi melalui satu kenyataan yang dimuat naik melalui akaun Twitter syarikat tersebut.
Stubapp sebelum ini telah dilantik sebagai pengedar pass bermusim dan penjualan tiket secara atas talian, atau melalui kiosk bagi pasukan Perlis di saingan Liga Premier pada musim ini.
Dapatkan Kad Keahlian 2019 @perlisfootball melalui aplikasi @stub.app.
Banyak kebaikan menanti pemilik kad keahlian ini.
Muat turun Stubapp dari Play or App store atau tekan link dia seksyen bio kami.
Ayuh Penyokong Setia Singa utara. #demimukuningbiruku #perlisnorthernlions pic.twitter.com/yHhnlRkB3L
— Stubapp (@Stubapp) January 12, 2019
Tidak jadi kenyataan
Namun demikian, Malaysian Football League (MFL) semalam mengumumkan pasukan tersebut disingkirkan dari baki saingan Liga Malaysia pada musim ini selepas mendapati pasukan yang bersaing dalam Liga Premier itu tidak memiliki jaminan kukuh daripada struktur kewangan bagi terus bertahan musim ini.
Sebelum itu, kemelut pembayaran gaji pemain sejak dari musim lalu terus menghantui pemain-pemain dari musim lalu, dan kini turut melarat kepada pasukan utama yang mulai dibentuk sejak beberapa bulan yang lalu.
Sehingga kini, Perlis telah beraksi tiga perlawanan di tempat lawan. Perlawanan sulung yang pada asalnya dijadualkan di Stadium Tuanku Syed Putra ialah pada 3 Mac hadapan, menentang Terengganu FC II. Namun kini ianya tidak akan menjadi kenyataan.
Pengumuman Stubapp
Menurut Stubapp, duit yang telah dibayar oleh pembeli boleh mulai didapatkan esok. Sehubungan dengan itu, syarikat tersebut akan menghubungi pembeli-pembeli tersebut secara berperingkat melalui panggilan telefon untuk mendapatkan butiran akaun, bagi mempercepatkan proses pengembalian wang tersebut.
“Ribuan terima kasih kepada peminat Perlis yang menggunakan aplikasi Stubapp dalam tempoh 3 bulan ini. Hingga kita berjumpa lagi,” ujar Stubaapp dalam kenyataan pendek tersebut.
Kalo nk oder utk koleksi leh x?almaklum la,dh jd sejarah..kna kumpul..
— InCik TonTon (@ZulEmmet) February 21, 2019
Pengumuman oleh Stubapp itu mendapat pujian daripada kalangan pembeli dan penyokong bola sepak Perlis. Tidak kurang juga ada yang mahu mengekalkan kad keahlian sebagai tanda kenang-kenangan.
Malah ada di kalangan mereka masih mahu melakukan pembelian kad keahlian untuk disimpan.