Sarriball bergantung kepada peranan Jorginho ketika di Napoli. Dan hal yang serupa berlaku di Chelsea. Sudah beberapa orang pengurus tampil dengan kenyataan bahawa mematikan Jorginho akan melumpuhkan Sarriball.
Sebelum ini Eddie Howe menyatakan beliau memberikan penekanan kepada aspek menekan Jorginho. Dalam perlawanan menentang Man. City, Pep Guardiola juga mematikan talian hantaran antara Jorginho dengan pemain Chelsea yang lain.
Sudah beberapa kali Chelsea bermasalah apabila ada pasukan menekan Jorginho di tengah. Jorginho mendapat kritikan hebat daripada penyokong Chelsea yang sepanjang malam di Stamford Bridge berharap pemain itu dikeluarkan.
Malangnya Chelsea tiada pilihan yang baik untuk peranan ‘deep lying playmaker’ kerana Kante lebih kepada ‘destroyer’ yang lebih ‘direct’.
Fabregas pula sudah dilepaskan ke AS Monaco. Pengulas perlawanan sempat memberikan pandangan bahawa Fabregas pemain lebih baik untuk peranan no.4 – deep lying playmaker itu – ini kerana Fabregas boleh melakukan ‘assist’ dan gol dalam peranan itu. Manakala Jorginho masih tak mampu melakukannya.
Terbaru, interim Man. United – Ole Gunnar Solskjaer pula mendedahkan mereka turut berjaya melumpuhkan Jorginho di tengah menggunakan Juan Mata.
Ole Gunnar Solskjaer memuji Juan Mata yang menjalankan tugasnya dengan baik untuk ‘press’ di garisan tinggi dengan segera – bertumpu pada Jorginho. Ianya telah menjadi salah satu faktor kemenangan Man. United 2-0 ke atas Chelsea – serta sukarnya Chelsea bermain secara kombinasi di tengah.
Solskjaer berkata: “Aksi pemain luar biasa, taktik kami berjalan lancar. Kami meminta pemain kami ‘press’ lebih tinggi dan ia berhasil. Pada separuh masa kedua, kami bertahan dengan sangat baik.”
“Chelsea pasukan yang baik. Mereka ada cara mereka tersendiri untuk bermain namun Juan Mata melakukan tugasanya dengan baik ‘ke atas’ Jorginho. Dan pasukan kami sememangnya sangat baik pada fasa bertahan. Ini kemenangan yang sangat bermakna.”