Nantes dijangka akan mengheret Cardiff City kepada FIFA berkenaan pembayaran yuran perpindahan Emiliano Sala. Kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu gagal menjelaskan bayaran ansuran pertama yang telah ditetapkan, dari nilai keseluruhan £15 juta yang harus dilangsaikan selewat-lewatnya pada Rabu (hari ini).
Pemain kelahiran Argentina itu maut selepas pesawat Piper Malibu yang membawa pemain itu bersama juruterbang David Ibbotson menjunam ke perairan Selat Inggeris pada 21 Januari lalu. Tragedi tersebut berlaku dua hari selepas Sala menandatangani kontrak bersama Cardiff, untuk berhijrah dari Ligue 1.
Wakil kedua-dua buah kelab termasuk pengurus Cardiff, Neil Warnock menghadiri pengebumian pemain tersebut di Argentina pada Sabtu. Namun perkara sebaliknya berlaku di sebalik tabir di antara kedua-dua kelab melibatkan pertelingkahan yuran perpindahan pemain tersebut.
Surat peguam
Peguam Nantes terlebih dahulu telah menulis sepucuk surat kepada Cardiff pada 5 Februari lalu untuk menuntut bayaran pertama dari tiga peringkat bayaran sepatutnya yang perlu dilangsaikan di dalam tempoh 10 hari.
Cardiff bagaimanapun menjelaskan pihak mereka mahukan siasatan menyeluruh diadakan terlebih dahulu, kerana memerlukan butiran kepada beberapa persoalan mengenai tragedi yang berlaku. Antara yang menjadi pertanyaan ialah kelayakan juruterbang, Ibootson untuk menerbangkan pesawat malang tersebut.
Cardiff mempunyai polisi insuran bernilai £16 juta untuk Sala. Jika hasil siasatan mengandungi kesilapan dari pihak lain yang menyebabkan kemungkinan tragedi berlaku, ia akan menyukarkan Cardiff untuk melakukan tuntutan. Kelab Inggeris itu kemudiannya harus melakukan saman agar tuntutan sedemikian boleh dibayar kepada mereka.
Situasi di Nantes
Nantes sebaliknya mempunyai situasi dan kedudukan yang berbeza. Pertama, mereka perlu mencari pengganti kepada Sala yang merupakan penjaring terbanyak kelab itu untuk tiga musim berturut-turut.
Situasi itu menjadi lebih rumit kerana Nantes harus menjelaskan 50% dari nilai perpindahan kepada Bordeaux – sepertimana yang terkandung di dalam klausa perpindahan pemain itu ketika menyertai Nantes pada 2015.
Wang juga diperlukan untuk menjelaskan yuran ejen, dan The Guardian melaporkan perpindahan Sala dari Nantes ke Cardiff melibatkan lebih dari seorang ejen, yang diketuai oleh Willie Mckay.
Mckay berkata Cardiff cuba menyalahkan beliau untuk kematian Sala, dan mendakwa kelab tersebut tidak jujur dalam urusniaga tersebut kerana sebelum itu McKay menyediakan enam penerbangan serupa untuk mejayakan perpindahan Sala ke Cardiff.