Pengalaman berharga di pentas tertinggi Asia diraih skuad Perak apabila tumbang 1-5 pada pertembungan Pusingan Ketiga Kelayakan Liga Juara-Juara Asia 2019 menentang Ulsan Hyundai FC di Ulsan Munsu Football Stadium, sebentar tadi.
Separuh masa pertama
Minit awal permainan memperlihatkan para pemain Perak mampu untuk mengimbangi aksi kemas yang ditampilkan barisan tuan rumah.
Wander Luiz mendapat peluang terbaik di minit ke-11 menerusi sepakan percuma dihadapan pintu gol Ulsan Hyundai, namun rembatannya mudah ditangkap kemas Oh Seung-Hoon.
Aksi bersemangat Shahrul Mohd Saad dan rakan sepasukan tidak menghalang Ulsan Hyundai bagi membuka tirai jaringan pada minit ke-23 selepas Amirul Azhan Aznan tertampan bola ke gawang sendiri dalam usaha menghalang hantaran lintang dari sebelah kiri pintu gol Perak dilakukan Kim Tae-Hwan.
Jaringan tersebut jelas meningkatkan momentum serangan skuad yang dibimbing Kim Do-Hoon apabila mereka melancarkan dua serangan terbaik dalam tempoh lima minit.
Hafizul Hakim bagaimanapun bertindak cemerlang menafikan kedua-dua percubaan yang salah satunya diledakkan pemain kelahiran Brazil, Junior Negrao.
Dalam kesukaran mencipta gerakan serangan, Perak mendapat peluang keemasan pada minit ke-40 hasil gerakan pantas dimulakan Firdaus Saiyadi berikutan kealpaan pemain Ulsan Hyundai.
Namun, Gilmar Jose Da Silva Filho yang menerima lorongan Firdaus dalam kawasan penalti sekadar menyepak ‘ke langit’ sekaligus menghampakan skuad Yob.
Separuh masa kedua
Aksi di babak kedua menyaksikan Ulsan Hyundai tampil dengan lebih garang dan berjaya menambah empat lagi jaringan.
Mikkel Morgenstar Diskerud menjadi duri dalam daging buat Perak setelah pemain yang dipinjamkan dari Manchester City itu menjaringkan dua gol pantas.
Diskerud melakukan gerakan solo ke dalam kawasan penalti Perak dan seterusnya melakukan sepakan ‘placing’ yang menewaskan Hafizul Hakim pada minit ke-56.
Berselang dua minit kemudian, Diskerud sekali lagi dengan tenang menyempurnakan peluang dari luar kawasan penalti juga menerusi sepakan ‘placing’.
Pemain yang menggantikan Diskerud, Lee Dong-Gyeong turut meletakkan nama selaku penjaring selepas beliau yang tidak dikawal pertahanan, melepaskan rembatan untuk menambah duka buat Perak pada minit ke-70.
Perak yang dihujani serangan pasukan tuan rumah turut berusaha untuk mencipta jaringan tetapi rembatan padu Gilmar berjaya ditepis keluar Seung-Hoon.
Tandukan Zac Anderson hasil sepakan penjuru juga sedikit tersasar.
Junior Negrao menambah jaringan kelima buat Ulsan Hyundai manakala Nazirul Naim Che Hashim menghadiahkan jaringan saguhati buat Perak pada minit ke-90 menerusi rembatan dari sudut sukar yang mengelirukan Oh Seung-Hoon.
Kredit foto: Ulsan Hyundai FC