Krzysztof Piatek adalah manusia yang dilahirkan untuk mencetak gol – kata pengurus AC Milan, Gennaro Gattuso.
Piatek terus membuktikan kemampuannya bersama AC Milan apabila meledak dua jaringan membantu kebangkitan pasukannya bangkit menewaskan Atalanta 3-1. Kemenangan tersebut mengekalkan mereka di landasan memburu tiket ke Liga Juara-Juara musim hadapan.
Bintang muda Poland ini ditandatangani dari Genoa pada jendela perpindahan Januari lalu menerusi bayaran berjumlah €35 juta (RM161 juta).
Dilahirkan untuk ‘gol’
Menurut Gattuso, beliau kagum dengan perkembangan yang dilalui Piatek bersama pasukannya ketika ini.
“Selepas tujuh atau lapan bulan di [Serie A], semua orang sudah biasa dengan gol itu [Piatek],” kata Gatusso.
“Piatek adalah pemain yang hidup untuk mencetak gol. Dia melakukan pergerakan dengan sangat baik, dan dia memiliki kemampuan teknik yang luar biasa.”
“Kami amat gembira apabila berjaya memiliki dia,” sambungnya.
Satu pasukan
Dua gol yang dihasilkan Piatek untuk menewaskan Atalanta 3-1 di Stadium Atleti Azzurri d’Italia, pada hujung minggu lalu menjadikan beliau sebagai pemain pertama yang berjaya menghasilkan jaringan dalam tiga perlawanan terawal selaku pemain dalam kesebelasan utama AC Milan.
Setakat ini, Piatek telah berjaya menghasilkan 17 gol di Serie A untuk musim ini, dan 6 daripadanya dihasilkan selepas menyertai AC Milan.
Bagaimanapun Gattuso enggan para penyokong menumpukan sepenuhnya kepada usaha individu untuk mencapai keputusan yang baik, sebaliknya menekankan ia sebagai hasil kerjasama seluruh anggota pasukan.
“Secara umumnya, saya tidak mahu mendengar orang bercakap tentang individu, Sebaliknya menekankan hasil kerja dari satu kumpulan pemain atau pasukan.”
“Keputusan tersebut membantu kami, mereka [pemain] telah membawa semangat. Kita perlu terus seperti ini dan bekerja dengan rasa tenang.”