MSL 2019: Semut Merah Terlalu Unggul, Beri Empat ‘Gigitan’ Buat Gergasi Merah

Semut Merah

Selangor dirundung malang apabila tumpas 0-4 pada pertemuan Liga Super 2019 menentang Kelab Bola Sepak Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS FC) di Stadium Shah Alam, sebentar tadi.

PKNS FC yang dibimbing Datuk K. Rajagobal dilihat lebih banyak menjelmakan bahaya buat jentera pertahanan Selangor pada perlawanan ini.

Kualiti yang dimiliki Kpah Sherman dan Gabriel Guerra serta Romel Morales jelas menjadi senjata utama buat PKNS FC.

Guerra tidak menunggu lama untuk memberikan ancaman apabila beliau melepaskan rembatan hasil sepakan percuma pada minit kedua perlawanan bagi menguji ketangkasan Khairulazhan Khalid di gawang Selangor.

Selepas itu, Mohd Faizat Mohamad Ghazli yang mendapat lorongan cantik daripada Romel Morales sekaligus melakukan percubaan yang sekali lagi dinafikan Khairulazhan.

Selangor sesekali mencari ruang mencipta serangan memperoleh peluang menerusi kombinasi di sebelah kanan antara Syahmi Safari dan Syazwan Zainon pada minit ke-14.

Rembatan dari sebelah kiri pintu gol PKNS FC bagaimanapun langsung tidak menghadirkan bahaya buat Muhammad Zarif Irfan Hashimuddin walaupun Syazwan mempunyai ruang yang cukup selesa untuk membuat percubaan.

Penguasaan permainan yang ditampilkan Selangor pada babak pertama langsung tidak dihiraukan para pemain PKNS FC yang lebih bijak mencipta serangan berbahaya.

Hasil ‘backheel’ daripada Kpah Sherman yang mencari Chan Vathaka, pemain tengah antarabangsa Kemboja itu melepaskan rembatan padu pada minit ke-19, tetapi Khairulazhan masih kental bertahan.

Kecemerlangan Khairulazhan Khalid akhirnya terhenti pada minit ke-27 apabila Nicholas Swirad menanduk masuk bola hasil sepakan penjuru yang diambil Vathanaka bagi menghadiahkan jaringan pembukaan buat PKNS FC.

Sepakan sudut yang menghasil jaringan tersebut diberikan selepas Azhan menepis keluar sepakan percuma menarik yang dilepaskan oleh Guerra.

Belumpun sempat Selangor mengatur gerakan untuk memburu jaringan penyamaan ketika aksi kembali bersambung, Sherman terus menghukum pasukan tuan rumah.

Berpunca daripada tandukan Faizat Ghazli yang mencari Sherman setelah menerima hantaran jauh dilakukan Tamirlan Kozubaev, Sherman melepaskan diri dari kawalan pertahanan Selangor sekaligus membuat sepakan lambung bagi menewaskan Khairulazhan.

Tersentak dengan dua gol tersebut, Selangor mengatur gerakan sebaik sahaja gol kedua terhasil. Bagaimanapun, Endrick dos Santos Parafita yang menerima hantaran ke belakang umpanan Antonio German melakukan percubaan yang melewati palang gol PKNS FC.

Percubaan yang dilancarkan jentera serangan Selangor yang diketuai ketua pasukan, Rufino Segovia tidak mampu membolosi Zarif Irfan.

PKNS FC ternyata sukar digugat apabila menambah satu lagi jaringan pada minit ke-79 selepas Chan Vathanaka yang berada di dalam kawasan penalti menyambar hantaran dilakukan Fandi Othman bagi menjadikan kedudukan 3-0.

Romel Morales menambah duka buat skuad bimbingan B. Satiananthan pada lewat permainan untuk perlawanan berkesudahan dengan 4-0 memihak skuad ‘Semut Merah’.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN