MSL 2019: Stadium Darul Aman Gegak-Gempita, Kedah Ledak 4 Gol Tumbangkan Felda United

Kali terakhir Kedah menang di Stadium Darul Aman dalam saingan liga adalah pada 26 Jun tahun lalu, menewaskan PKNS FC dan pada malam ini, Helang Merah kembali menceriakan penyokongnya dengan kemenangan selesa 4-0 ke atas Felda United.

Kapten skuad kebangsaan, Zaquan Adha, Anmar Almubaraki, Shakir Hamzah dan Fadzrul Danel telah mencatat nama selaku penjaring buat Kedah untuk menewaskan pendatang baharu liga itu dalam aksi ketiga unifi Liga Super (MSL) 2019, sebentar tadi.

Seperti yang dijangkakan, pengendali Kedah, Aidil Sharin Sahak tampil dengan senarai pemain dan formasi yang sama ketika diikat Perak minggu lalu. Sekali lagi rangkaian Zaquan Adha, Jonathan Bauman dan Fernando Rodriguez diharapkan di jentera serangan.

Foto: MFL

Berbeza pula dengan Felda United, Nidzam Jamil telah membuat 3 pertukaran pemain; mengeluarkan Jasazrin Jamaludin, S Chanturu dan Jaycee John – serta memasukkan Christee Jayaseelan, Kei Ikeda dan kapten skuad B-23 negara, Danial Amier Norhisham.

Kedah menunjukkan hajat besar mereka dalam perlawanan ini seawal minit pertama lagi menerusi sepakan percuma daripada kapten, Baddrol Bakhtiar dari luar kotak penalti yang berjaya diselamatkan oleh penjaga gol Felda United, Norazlan Razali.

Babak awal permainan di Darul Aman jelas dikuasai Helang Merah namun, sesekali The Fighters dilihat cuba mengatur serangan ke kubu tuan rumah namun berjaya dipatahkan oleh benteng yang ditunjangi dua import, Renan Alves dan Shakir Hamzah.

Percubaan pertama daripada penyerang berpengalaman, Zaquan Adha di minit ke-16 akhirnya memberi gol pembukaan buat Kedah apabila hantaran rendah Jonathan Bauman ditolak keluar oleh Norazlan – namun tiba ke kaki Zaquan Adha yang tidak mensia-siakan gawang gol yang telah terbuka luas buatnya.

Foto: MFL

Jika perlawanan di Ipoh tempohari Kedah dilihat sangat agresif dalam bertahan dan juga menyerang namun, dalam perlawanan malam ini Helang Merah tampil lebih tenang dengan gerakan lebih tersusun dalam setiap asakan ke kubu pelawat.

3 minit sebelum babak pertama tamat, pemain tengah, Anmar Almubaraki berhasil mengegar gawang pelawat apabila percubaan kaki kirinya dari luar kotak penalti berjaya menewaskan Norazlan buat kali kedua. Itu merupakan percubaan jarak jauh keduanya dalam perlawanan ini dan gol pertamanya di Liga Malaysia.

Kedah bermula garang di awal babak kedua. Pertahanan tengah, Shakir Hamzah berjaya meledak gol keduanya dalam saingan liga apabila tandukkannya di minit ke-54 berjaya menewaskan Norazlan di gawang untuk gol ketiga Helang Merah berpunca daripada sepakan penjuru yang diambil oleh Baddrol Bakhtiar.

Amukan Kedah berterusan di minit ke-74. Norazlan tewas sekali lagi apabila gagal menyelamatkan percubaan susulan kaki kiri dari pemain muda meningkat naik, Fadzrul Danel membolehkan Kedah memimpin perlawanan dengan kedudukan 4-0.

Kali terakhir Kedah meledak 4 gol di Alor Setar dalam saingan liga adalah pada 13 April tahun lalu ketika menewaskan Selangor.

Foto: MFL

Walaupun ketinggalan dengan margin yang agak besar, kapten The Fighters, Hadin Azman dilihat tidak berputus asa dan berhenti untuk mengasak tuan rumah namun sentiasa berseorangan apabila memulakan asakan ke kubu kebal Hijau Kuning.

Perlawanan yang dikuasai sepenuhnya oleh tuan rumah dengan 62% penguasaan padang akhirnya ditamatkan oleh pengadil dengan keputusan 4-0 memihak kepada Helang Merah.

Senarai pemain:

Kedah: Ifwat Akmal (PG), Renan Alves, Shakir Hamzah, Rizal Ghazali, Alif Yusof (82′ Khairul Helmi), Baddrol Bakhtiar (K), Fadzrul Danel, Zaquan Adha, Anmar Almubaraki (66′ Syahrul Azwari), Jonathan Bauman (82′ Fayadh Amin), Fernando Rodriguez

Felda United: Norazlan Razali (PG), Thiago Junio, Raffi Nagoorgani, Haziq Puad, Arif Fadzilah, Jocinie Schad (59′ Jasazrin Jamaludin), Zharil Azri, Danial Amier (79′ Azim Rahim), Christee Jayaseelan (59′ Sadam Hashim), Hadin Azman (K), Kei Ikeda

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN