MSL 2019: Penalti Lewat Perlawanan Safiq Rahim Bantu Melaka Ikat Pahang

Pertemuan Melaka dan Pahang menjadi perhatian ramai kerana 2 pasukan ini memiliki rekod kemenangan 100% selepas 2 perlawanan.

Perlawanan tumpuan pada LS3 ini disaksikan lebih 19,000 penyokong di Stadium Hang Jebat. Kedua-dua pasukan menurunkan kesebelasan terbaik mereka untuk perlawanan ini.

Laporan perlawanan

Pahang di hadapan seawal minit ke-5 menerusi Herold Goulon. Ini merupakan kali kedua berturut-turut beliau menjaringkan gol untuk Pahang dalam saingan Liga Super. Goulon mengambil kesempatan di atas kesilapan penjaga gol – Khairul Fahmi Che Mat.

Melaka cuba membalas gol itu dengan segera. Namun beberapa percubaan menerusi pemain Melaka gagal menerjah gawang. Pahang cuba menyerap asakan dan melancarkan beberapa siri serangan balas.

Ze Love menerima bola daripada Dickson selepas kekalutan di tengah melibatkan Safiq Rahim. Namun percubaan Ze Love lemah. Minit ke-32, Dickson Nwakaeme menguji pintu gol Melaka sekali lagi namun tersasar.

Casgrande hampir berjaya menyambut hantaran bola mati oleh Safiq Rahim namun dipintas oleh Helmi Eliza.

Goulon menguji Khairul Fahmi sekali lagi pada minit ke-36. Seterusnya, pada minit ke-40, bermula daripada gerakan Saddil Ramdani, pintu gol Melaka cemas sekali lagi. Namun tindakan susulan oleh Nwakaeme dan Davies tidak tepat.

Pada minit ke-43, Patrick Reichelt mendapat peluang untuk menyamakan kedudukan selepas kekalutan pasukan Pahang dalam usaha membina serangan daripada penjaga gol. Namun sekali lagi percubaan lemah.

Bersambung babak ke-2, Liridon hampir menyamakan kedudukan. Beliau menanduk bola yang terlepas daripada pertahanan Pahang. Namun Helmi Eliza berjaya menyelamatkan bola di atas garisan gol. Mungkin Liridon patut menanduk lebih deras.

Minit ke-50, Sumareh menewaskan Raimi dan menghantar bola ke zon bahaya. Namun rembatan Azam Azih melambung tinggi.

15 minit kemudian, Pahang mendapat peluang keemasan di hadapan gol. Namun rembatan Azam Azih terkena palang dan penyudah Ze Love lemah tepat ke dakapan Khairul Fahmi.

Minit ke-71, Safiq Rahim menerima tandukan Casagrande. Safiq melakukan percubaan ke arah gol namun dihadang oleh Goulon.

Pada 10 minit akhir, perlawanan menjadi panas dan segalanya serba tak kena bagi Pahang. Pada minit ke-80 – Azam Azih dilayangkan kad kuning kedua, beliau dibuang padang kerana mengasari Markovic.

Nwakaeme dilayangkan kad kuning kerana membantah keputusan pengadil. Melaka kemudian hampir menyamakan kedudukan namun Helmi Eliza menafikan percubaan Casagrande.

Minit ke-83, Faris Shah dilayangkan kad kuning kerana mengasari Nwakaeme. Dan pada minit akhir perlawanan, Helmi Eliza menjatuhkan Patrick Reichelt. Melaka dihadiahkan sepakan penalti. Safiq Rahim tenang menyempurnakannya.

Perlawanan berakhir 1-1. Ini bermakna tiada pasukan lagi yang memegang rekod 100% kemenangan selepas 3 perlawanan. Ini kerana semalam JDT turut terikat seri dengan Terengganu.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN