Alexis Sanchez boleh sahaja meninggalkan Manchester United untuk pulang kembali menyertai Arsenal di masa hadapan. Itulah kenyataan dari bekas pemain kelab London itu sendiri, Marc Overmars.
Sanchez berhijrah ke Old Trafford pada Januari 2018, perjanjian perpindahan yang turut menyaksikan Henrikh Mkhitaryan menuju ke Emirates. Namun demikian, prestasi Sanchez tidak lagi pernah sama seperti yang beliau tampilkan ketika bersama Arsenal.
Pemain berusia 30 tahun itu hanya menjaringkan lima gol setakat ini, setelah tampil dalam 37 perlawanan untuk United. Karier bintang Chile bersama Red Devils itu juga turut dibayangi dengan beberapa siri kecederaan.
Marc Overmars yang kini merupakan Pengarah Bola Sepak Ajax bagaimanapun percaya Sanchez mungkin kini menyesal kerana mahukan perpindahan ke Old Trafford.
Overmars yang tampil 100 kali dalam perlawanan liga untuk Arsenal merupakan salah seorang calon untuk menggantikan Sven Mislintat di kelab London itu.
“Saya sangat menghormati Alexis [Sanchez] kerana beliau beraksi dengan sangat baik ketika bersama Arsenal. Namun saya tidak pasti sama ada ia adalah keputusan yang tepat untuk berpindah,” ujar Overmars kepada stesen radio Chile, ADN Deportes.
“Bola sepak Inggeris bolah mengubah anda. Untuk saya ia adalah satu langkah ke hadapan. Arsene Wenger tiba di Arsenal semusim sebelum saya.
“Dennis Bergkamp juga berjaya di England. Ia adalah detik yang hebat, dan saya berpendapat sedikit sebanyak kami telah mempengaruhi sejarah kelab.
“Pemain seperti ini adalah penting untuk Arsenal keana mereka memberi anda fokus. Selepas Alexis, Arsenal cuba mencari pemain lain seperti itu, namun gagal berbuat demikian. Jadi, tidak salah untuk Sanchez kembali bersama Arsenal.”