Previu MSL 2019: Kedah Perlu Eksploitasi Kekurangan Felda United Untuk Pikat Pemain Ke-12

Perlawanan minggu ketiga unifi Liga Super Malaysia (MSL) 2019 akan diteruskan pada malam ini dengan juara 3 kali, Kedah yang akan menanti kunjungan pendatang baharu liga, Felda United di stadium keramat mereka, Stadium Darul Aman.

Ini merupakan aksi pertama Kedah di Darul Aman dan pastinya ia akan menghadirkan debaran buat pengurusan, para pemain dan juga penyokong sementara Felda United pula sebolehnya mahukan keputusan positif berdepan pasukan seperti Helang Merah.

Berikut adalah previu menjelang perlawanan pada malam ini antara Kedah dan Felda United.

Peluang Kedah pikat kembali penyokong

Setelah dua minggu beraksi di luar kawasan atau lebih tepatnya di Perak, para penyokong Kedah pastinya akan turun dengan kekuatan penuh untuk melihat sendiri perkembangan dan perubahan pasukan kesayangan mereka pada musim ini.

Kedah tampak tiada masalah besar dalam dua perlawanan sebelum ini yang menyaksikan mereka menang ke atas PKNP FC dan seri ketika bertemu Perak. Cuma sedikit kelonggaran dalam permainan berpasukan dan hantaran – terutamanya ketika menyerang – masih perlu ditingkatkan.

Jonathan Bauman menjaringkan 1 gol ketika menentang PKNP dalam aksi unifi Liga Super 2019 (Foto: KFA)

Musim lalu di Darul Aman, Kedah sangat bermasalah dengan kalah 5 daripada 11 aksi. Ia merentap semangat penyokong. Tetapi perlawanan malam ini adalah peluang untuk mereka kembali memikat penyokong untuk berada di belakang pasukan.

Dengan manual guide baharu hasil ilham pengendali baharu, Aidil Sharin Sahak, Kedah akan memperagakannya di hadapan ribuan penyokong sendiri. Reaksi setakat ini, rata-rata penyokong Kedah berpuas hati dengan watak yang dipamerkan oleh pemain – terutamanya pasangan pertahanan tengah baru; Renan Alves dan Shakir Hamzah.

Felda United dan transisi sekelip mata

Dua keputusan seri dalam dua aksi pertama, pasukan bimbingan Mohd Nidzam Jamil ini, secara realistinya, bukanlah pasukan pencabar kejuaraan liga. Tetapi keteguhan pertahanan dan ketajaman sentuhan penyudah Hadin Azman membuatkan Felda United pasukan yang liat untuk dikalahkan.

Hadin Azman meraikan jaringannya ketika seri menentang Selangor dalam aksi unifi Liga Super 2019 (Foto: asiana.my)

Berikutan pemergian pemain-pemain berkaliber seperti Shukor Adan, Thiago Augusto dan Syamim Ahmad (sekadar menyebut beberapa nama), The Fighters mempertaruhkan nama-nama tak terkenal dalam kesebelasan utama mereka. Haziq Puad, Raffi Nagorgani, Arif Fadzilah, Zahril Azri serta Hadin Azman (yang dibekukan peluang oleh B. Satianathan pada musim lepas) adalah antara pemain yang mendapat peluang bermain dalam kesebelasan utama di bawah kendalian Nidzam; juga merupakan ketua jurulatih termuda dalam unifi Liga Super tahun ini.

Tenaga-tenaga muda ini membantu barisan veteran berpengalaman seperti Norazlan Razali, Jasazrin Jamaluddin, Thiago Aquino dan penyerang Bahrain, Jaycee John – menjadikan Felda sebuah pasukan yang seimbang.

Persoalannya: adakah Felda mampu untuk menyekat kemaraan falsafah fast counter attacking Kedah? Adakah Felda mampu menandingi pendekatan fizikal dan keras Kedah? Adakah Felda mampu menjaringkan gol terlebih dahulu selepas terpaksa bangkit dalam dua perlawanan lepas?

Jonathan Bauman dan Hadin Azman

Setakat ini, hanya satu jaringan setakat ini buat Jonathan Bauman; yang dijaringkan ketika perlawanan pertama liga menentang PKNP. Ketika menentang Perak, Bauman dan seorang lagi rakan penyerangnya yang masih belum menjaringkan gol, Fernando Rodriguez, berjaya ‘dikunci’.

Bertemu benteng Felda United yang ditunjangi pengalaman luas Thiago Junio bersama-sama tiga pemain muda mungkin bakal menyaksikan lebih banyak peluang akan hadir buat Kedah. Tetapi adakah Bauman akan berjaya merobek gawang yang dikawal Norazlan Razali yang cemerlang menafikan kemenangan Selangor pada aksi minggu pertama?

Norazlan Razali beraksi cemerlang ketika menentang bekas pasukannya, Selangor dalam perlawanan pertama unifi Liga Super 2019 (Foto: Felda United FC)

Sementara itu, pemain tumpuan untuk Felda United pula pastinya kaptennya, Hadin Azman yang telah meledak dua gol buat mereka pada ketika ini. Dijangka Felda akan terus meletakkan 9 pemain di belakang bola sebelum melancarkan serangan balas pantas menerusi larian bekas pemain Harimau Muda B ini untuk menyusup masuk ke kubu tuan rumah.

Selain kepantasan dan kelincahan Hadin, Felda turut memiliki S. Chanturu di sebelah kanan dan Jaycee John – meskipun kedua-dua mereka masih belum menunjukkan prestasi meyakinkan setakat ini.

Statistik dan rekod

Kedah (M-S)

  • Menang 2-0 v PKNP FC (A)
  • Seri Perak 1-1 v Perak (A)

Felda United (S-S)

  • Seri 1-1 v Selangor (A)
  • Seri 1-1 v PKNP FC (H)

Seperti yang diperkatakan tadi, rekod Helang Merah musim lalu di Darul Aman tidak memberangsangkan – menjadikan ia bukanlah kubu kukuh mereka. Mereka merekodkan hanya 36% kemenangan dan hanya purata 1.7 gol terhasil.

Tidak seperti Felda United yang cemerlang beraksi di luar Jengka musim lalu. Ketua jurulatih ketika itu, Satia dan barisan bintangnya berjaya mencatatkan rekod bersih di gelanggang lawan – tanpa kalah dalam 10 aksi. Namun, itu adalah saingan Liga Premier.

Taktikal pasukan

Berbanding aksi pertama, Kedah dilihat tidak membuat sebarang perubahan pemain ataupun formasi pada minggu lalu. Formasi 4-3-3 masih digunapakai oleh Aidil Sharin untuk mengasak Perak di Ipoh dan ianya tampak berhasil mengekang lawan.

Dengan semua pemain kesebelasan utama masih boleh beraksi dan juga berdepan pasukan yang kurang mendatangkan masalah seperti Felda, dijangkakan tiada apa-apa perubahan minggu ini.

Rangkaian Zaquan, Fernando dan Bauman diharap akan mampu menyelesaikan masalah sentuhan akhir dan merobek gawang lawan pada minggu ini disamping memperbaiki kombinasi hantaran di antara setiap pemain yang sedikit longgar.

Menggunakan formasi yang sama dengan tuan rumah, skuad kendalian Mohd Nidzam Jamil pastinya mahu menyekat hasrat tuan rumah untuk meraih 3 mata. Jaycee John akan dibantu oleh Hadin Azman dan S Chanturu di bahagian sisi serangan.

Kekurangan hanyalah pengalaman pemain-pemain pertahanan yang bergandingan bersama Thiago Junio dan dengan pilihan terhad, Felda United mungkin akan main lebih bertahan dengan jentera tengah akan lebih ke belakang membantu benteng.

Menentang Selangor, Felda United dilihat lebih banyak bertahan dan menanti peluang untuk melancarkan serangan ke kubu lawan. Namun, Kedah bukanlah lawan yang mudah jika mereka terlalu ke bawah – kemungkinan kaedah ini akan memakan diri.

Ramalan Semuanya BOLA

Atsmofera sokongan di Darul Aman buat Helang Merah kali ini pasti berbeza. Aidil Sharin dan pemainnya akan cuba memikat para penyokong dan dengan hanya meraih kemenangan mampu membantu Kedah kembali ke landasan sebenar semula.

Bertemu skuad seperti Felda United pasti akan membantu Kedah mencari momentum kemenangan. Namun, jangan dipandang mudah cabaran The Fighters. Jika Gergasi Merah pun gigit jari berkongsi mata, apa jua boleh berlaku pada malam ini.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN