Jaringan tunggal pemain tengah BATE Borisov, Stanislav Dragun pada penghujung babak pertama sudah cukup buat wakil Belarus itu untuk menumpaskan Arsenal 1-0 pada aksi pertama peringkat 32 terbaik Liga Europa 2018/19 di Borisov Arena, awal pagi tadi.
Lebih perit buat Arsenal adalah mereka turut kehilangan khidmat tonggak jentera serangan kelahiran Perancis, Alexandre Lacazette yang menerima kad merah ketika perlawanan hanya berbaki lima minit untuk ditamatkan.
Sejak dari awal permainan, anak buah Unai Emery telah mempamerkan penguasaan permainan yang cukup ketara berbanding pasukan tuan rumah, namun kualiti penyudah kurang berkesan menggagalkan usaha mereka.
Kelemahan itu berjaya dihukum pemain BATE Borisov selepas Dragun berjaya menanduk masuk bola hasil sepakan percuma yang diambil Igor Stasevich untuk mencipta jaringan pendahuluan pada minit ke-45.
Ketika aksi kembali bersambung, Lacazette menceriakan kem Arsenal dengan jaringan yang dihasilkan, namun gol tersebut dibatalkan selepas beliau didakwa berada dalam kedudukan ofsaid.
Lacazette dan Arsenal ditimpa malang apabila pengadil perlawanan melayangkan kad merah buat penyerang tersebut akibat kekasaran yang dilakukan terhadap
pemain pertahanan tuan rumah, Aleksandar Filipovic.
Kedudukan 1-0 tersebut kekal hingga wisel penamat ditiupkan. Arsenal tidak perlu gusar kerana mereka masih mempunyai baki 90 minit untuk diperjuangkan pada aksi kedua di Emirates nanti.