Quantcast

BERITA

Kelayakan Shopee Piala FA 2019: Shah Alam Antlers Optimis Walaupun 5 Pemain Baru Dibeli Selangor United

Shah Alam Antlers tetap optimis dengan peluang mereka menjelang kelayakan Shopee Piala FA 2019 menentang Real Chukai meskipun baru kehilangan 5 pemain tonggak yang berhijrah ke Selangor United.

Presiden Shah Alam Antlers, Ahmad Suffian turut mengesahkan berita perpindahan 5 pemainnya itu turut disertai dengan yuran perpindahan yang dirahsiakan (undisclosed) memandangkan 3 daripada 5 pemain tersebut mempunyai kontrak dengan kelab komuniti Shah Alam itu.

“Kami baru sahaja mencapai persetujuan terma dengan Selangor United yang ingin mendapatkan servis 3 pemain yang mempunyai kontrak dengan kami iaitu Iylia Fitri, Luqman Hadi dan Suzaimy Azreen,” jelas Suffian. Beliau kemudiannya menambah, “2 lagi pemain kami yang turut akan menyertai Selangor United adalah Muhammad Affendy dan Mohammad Zufar. Tetapi tiada yuran perpindahan dikenakan memandangkan mereka tidak mempunyai kontrak dengan Antlers.”

Kehilangan 5 pemain tonggak ini terutamanya Luqman Hadi yang berkhidmat sebagai kapten selama setahun dijangka akan menjejaskan sedikit persiapan Antlers. Tetapi Suffian tetap optimis dengan peluang pasukannya.

“Memang sakit sikit bila 5 pemain kami ini tidak dapat bersama menjelang perlawanan Ahad nanti. Tapi kami telah pun menggantikan mereka dengan pemain-pemain baru. Antaranya adalah pemain kacukan Australia-Vietnam berusia 16 tahun, Ryan Nguyen Gilbert dan bekas penjaring terbanyak kami musim 2017, Raffi Mansor. Jadi kami optimis,” kata presiden berusia 45 tahun ini.

Mengulas mengenai Real Chukai, lawan mereka pada pusingan kelayakan Shopee Piala FA 2019 Ahad ini, Suffian memberi peluang 50/50 kepada kedua-dua pasukan. “Kami pernah seri 1-1 dengan Real Chukai ketika kejohanan Community Challenge Cup 2019 sebelum tewas penentuan penalti 6-5. Kedua-dua pasukan ada kelebihan masing-masing.”

Sebagai rekod, Shah Alam Antlers muncul naib juara dalam Community Challenge Cup 2019, dipisahkan 1 mata di belakang juara, DSPEX Dungun. Real Chukai menduduki tangga ke-6 daripada 8 pasukan yang bertanding.

Real Chukai merupakan bekas juara Terengganu Amateur League (TAL) edisi 2017 dan pernah melahirkan penyerang yang kini bermain untuk TFC III dan skuad Malaysia B-22, Izzan Syahmi. Seorang lagi pemain mereka, Muslihuddin Atiq dipanggil ke skuad Malaysia B-19. Ketika kempen TAL 2018, mereka bertahan sehingga ke peringkat suku akhir.

Shah Alam Antlers akan menjadi tuan rumah dalam pertemuan menentang Real Chukai dalam kelayakan Shopee Piala FA 2019 ini di Stadium UiTM Shah Alam pada Ahad, 17 Februari 2019 jam 4.15 petang.